Sertai Kumpulan Baharu, Ajak Tidak Tinggalkan Shiro


Ajak tetap akan bersama Shahrol menerusi kumpulan Shiro

Pelawak Mohamad Hanaffi Razak atau Ajak (Shiro) tidak pernah membelakangkan sahabat baiknya, Shahrol apabila mengambil keputusan untuk bergabung dengan dua pelawak lain bagi menyertai program Maharaja Lawak Mega 2016.

Ajak, 31, sebaliknya berkata, penubuhan kumpulan LOL yang dianggotai oleh Angah (Raja Lawak) dan Tauke (Jambu) mendapat sokongan daripada Shahrol sendiri.

"Saya tidak membelakangkan Shahrol apabila mengambil keputusan bergabung dengan Angah dan Tauke untuk menyertai MLM 2016 sebaliknya dia tahu dan saya mendapat sokongan daripadanya.

"Penubuhan LOL bukan untuk kepentingan peribadi tanpa melibatkan Shahrol sebaliknya ia adalah projek istimewa sahaja," katanya kepada mStar Online.

MLM 2016 bakal menampilkan 15 peserta dan bakal bersiaran selama 14 minggu pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 29 Januari ini.

Dalam pada itu, Ajak turut menyangkal penubuhan LOL adalah tanda berakhirnya kerjasama diantaranya bersama Shahrol menerusi kumpulan Shiro.



Ajak bersama Tauke dan Angah menerusi kumpulan baharu yang diberi nama LOL.

Kata Ajak, Shiro masih keutamaannya dan tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan kumpulan tersebut yang telah menaikkan nama mereka dalam bidang komedi.

"Kami tidak berpecah dan seperti saya jelaskan tadi LOL adalah projek istimewa dan Shahrol pun tidak dapat menyertai MLM tahun ini kerana ada komitmen lain.

"Saya masih membawa nama Ajak Shiro dan keutamaan saya adalah kepada kumpulan kami," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai penyertaan LOL dalam MLM 2016, Ajak berkata, mereka bertiga bergabung kerana ingin meneruskan legasi Allahyarham Pak Yus yang meninggal dunia pada 30 November tahun lalu.

Jelas Ajak, sekiranya rezeki kemenangan berpihak kepada LOL mereka berhasrat untuk membuka perniagaan dan separuh hasil pendapatan itu nanti akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang pernah mendapat bantuah arwah sebelum ini.

"Ramai yang tidak tahu Allahyarham adalah seorang penderma dan banyak pertubuhan pernah mendapat bantuan daripadanya. Jadi kami ingin meneruskan kebaikan yang Pak Yus pernah buat sebelum ini.

"Ini adalah antara sebab kenapa kami menubuhkan LOL kerana ingin meneruskan legasi Pak Yus," jelasnya.

Bagaimanapun kata Ajak, dia tidak mahu niat mereka itu disalah erti dan akan tetap melaksanakan hasrat tersebut biarpun tidak memenangi MLM 2016.

"Jangan kerana niat kami ini, pengundi bersimpati pula. Kami tetap akan bertanding dengan segala kebolehan kami.

"Sekiranya tidak menang kami tetap teruskan niat tersebut kerana ia sebagai amal jariah kami dan Allahyarham," katanya.

Previous Post Next Post