SPRM Mungkin Rayu Keputusan Peguam Negara


Datuk Bahri Mohd Zin

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Peguam Negara yang telah melepaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.6 bilion dan pinjaman RM4 bilion kerajaan kepada SRC International pada tahun 2011.

Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Bahri Mohd Zin pada Selasa berkata terdapat 'kemungkinan besar' bahawa suruhanjaya itu akan mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan kepada Peguam Negara untuk menimbang semula keputusannya dalam 'kes mudah dan jelas'.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini membebaskan Najib daripada sebarang salah laku jenayah berkaitan kedua-dua siasatan.


Apandi mengumumkan bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri.

Beliau berkata siasatan mendapati amaun yang didepositkan adalah sebanyak RM2.08 bilion, dan ia adalah sumbangan peribadi daripada kerabat diraja Arab Saudi pada 2013, dan daripada jumlah itu sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun yang sama.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media berhubung hasil siasatan kes berkenaan.

Bahri adalah salah seorang pengarah SPRM yang telah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 7 Ogos 2015. Beliau kemudiannya dikembalikan semula ke jawatan asalnya tiga hari kemudian.

Previous Post Next Post