Tinggalkan Selangor, Abang Terlajak Laris Intai Kedah


Selepas menarik diri daripada menaja pasukan Selangor, pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman kini mula mengintai untuk bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Menurut sumber, jutawan kosmetik itu akan mengadakan rundingan tertutup dengan Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi membincangkan mengenai tajaan berkenaan dalam masa terdekat.

"Datuk Aliff dan Datuk Seri Mukhriz sedang mencari masa yang sesuai untuk adakan pertemuan. Usahawan itu berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarat yang akan diletakkan pasukan Kedah," kata sumber itu kepada mStar Online.

Tambah sumber yang enggan didedahkan itu, Aliff Syukri terbuka hati untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Kedah selepas menerima permohonan penajaan daripada pasukan naib juara Piala Malaysia itu.

"Tarikh dan masa belum ditetapkan lagi. Tapi ia ada akan diadakan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu Aliff Syukri sendiri ketika dihubungi mStar Online berkata beliau terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak berhubung isu tajaan bola sepak bagi musim ini.


"Saya lebih suka untuk berbincang terlebih dahulu. Lebih baik berunding dan tahu apa yang kedua-dua pihak inginkan.

"Tak elok nak heboh awal-awal. Saya tak nak cetuskan kontroversi. Bila sampai masanya nanti saya sendiri akan umumkan kepada media," katanya.

Selain Selangor, usahawan muda yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu turut disahkan sudah mengadakan rundingan dengan pasukan Pahang dan Terengganu.

Menerusi komen di Facebook Aliff Syukri, penyokong skuad Kedah yang terkenal dengan jolokan Helang Merah itu merayu supaya Aliff Syukri mempertimbangkan untuk memberi tajaan kepada negeri berkenaan.

Antara hujah yang dinyakan netizen ialah imej berwarna hijau D'Herbs milik Aliff Syukri lebih sesuai dengan pasukan Kedah yang terkenal dengan warna hijau kuning.

Previous Post Next Post