Usaha dan doa 2016 Siti Nurhaliza


Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza meninggalkan tahun 2015 dengan seribu satu kenangan serta kejayaan.

Paling manis, sudah tentu kejayaan Konsert Unplugged dan Konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, perkara yang paling memberi impak kepada kehidupan peribadinya sudah tentu berita kehamilannya.

Perkhabaran itu disambut gembira oleh seluruh Malaysia. Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama. Selepas dua bulan hamil, Siti mendedahkan dia mengalami keguguran menerusi akaun Instagramnya.

Meskipun bersedih, penyanyi yang popular dengan lagu Jaga Dia Untukku kekal positif terhadap ujian yang diberi Allah. Kata Siti, sejak sembilan tahun mendirikan rumah tangga bersama Datuk Khalid Muhammad Jiwa (Datuk K), beliau tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa untuk memiliki cahaya mata sendiri.


Artis Meletop!: Apakah resolusi Datuk Siti Nurhaliza untuk tahun 2016?

SITI: Sama sahaja seperti tahun sebelum ini iaitu mahu menjadi insan yang lebih baik. Saya mahu menjadi insan yang ada peranan serta sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara. Semoga kerjaya, perniagaan dan apa sahaja perancangan akan berjalan dengan baik.

Boleh kongsikan perancangan kerjaya anda untuk tahun baharu?

Saya berhasrat sekurang-kurangnya untuk mempunyai single atau album kerana pada tahun 2016 genaplah 20 tahun kerjaya dalam bidang seni. Selain itu, saya juga berharap dapat mengadakan sebuah konsert berskala besar jika diizinkan dan mendapat penajaan yang baik.

Adakah ini bermakna konsert tersebut sempena 20 tahun usia anda dalam industri seni?

Ya, sememangnya genap 20 tahun dalam bidang seni saya ada merancang beberapa persembahan untuk diberikan kepada peminat. Namun, saya harus meneliti peluang yang datang terlebih dahulu dan berharap dapat melaksanakannya. Saya juga sedang mengumpul material untuk album baharu.


SEKITAR tiga minggu selepas mengalami keguguran, Siti menjalani kehidupan normal termasuk pergi bercuti.

Sepanjang tahun 2015, apakah perkara yang paling meninggalkan impak kepada anda?

Sejujurnya, tahun 2015 meninggalkan banyak kenangan manis walaupun ada perkara yang memberi dugaan kepada saya. Saya gembira kerana dapat menjayakan dua buah konsert iaitu Konsert Unplugged serta Konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya, selain album Konsert Unplugged juga dipasarkan. Apa yang membuatkan saya gembira adalah kedua-dua konsert itu merupakan terbitan syarikat sendiri, Siti Nurhaliza Production (SNP).

Bagaimanakah pula dengan perniagaan kecantikan anda?

SimplySiti akan mengeluarkan lebih banyak produk baharu tahun depan. Saya gembira kerana pelan perniagaan yang dibuat oleh pasukan kami. Alhamdulillah, produk saaya juga semakin mendapat tempat dan mempunyai pengguna tetap tersendiri.

Maaf cakap, berita kehamilan dan keguguran anda adalah kisah yang paling meninggalkan kesan kepada seluruh peminat anda. Bagaimanakah anda menerimanya apabila khalayak terlalu memberi perhatian terhadap perkara tersebut?

Saya reda dengan ujian ini dan tahu bukan diri sendiri sahaja yang diberi dugaan sebegini. Saya sentiasa bersangka baik dan percaya apa jua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Adakah anda masih cuba mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat?

Saya memang tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa. Perancangan Allah adalah lebih baik, Insya-Allah.

Ucapan tahun baru buat peminat dan pembaca Kosmo!?

Saya ingin mengucapkan selamat Tahun Baru 2016 kepada seluruh peminat dan pembaca akhbar Kosmo!. Semoga tahun 2016 memberi banyak kebaikan dan terus berusaha memperbaiki apa juga kekurangan diri. Jangan mudah berputus asa untuk mencapai kejayaan.

Previous Post Next Post