Aeril Zafrel beri penjelasan berlakon filem homoseksual


BARU- BARU ini, pelakon Aeril Zafrel telah memuat naik gambar yang juga merupakan poster bertajuk Crystal Soul di akaun Instagram miliknya.

Gambar yang memaparkan aksi dua lelaki di sebalik cermin tanpa berpakaian itu telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan pengikut Aeril.

Bahkan kebanyakan mengkritik Aeril dan aktor, Nazim Othman kerana dikatakan berlakon di dalam filem homoseksual.

Tidak melatah dengan tohmahan yang dilemparkan kepadanya, Aeril yang dihubungi Zass mengakui filem berkenaan adalah projek terbaharu yang juga filem kedua arahannya.

“Tidak dinafikan, saya memuat naik gambar poster berkenaan dan menurunkan ia selepas tiga jam.

“Saya berbuat sedemikian kerana ia adalah sebahagian dari kajian mengenai pandangan orang mengenai filem ini. “Saya ingin lihat sama ada orang sedar dengan kapsyen gambar yang saya muat naik atau hanya membuat penilaian daripada gambar sahaja.


“Bagaimanapun saya tidak marah atau melatah dengan semua komen yang ditinggalkan kerana itu adalah pandangan mereka dan saya hormati apa yang mereka katakan,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai filem berkenaan, Aeril berkata, dia masih menunggu rombakan skrip oleh penulis skrip, AbbanNamus.

“Saya belum lagi memulakan penggambaran filem ini kerana masih menunggu skrip yang kini sedang dirombak oleh penulis skrip.

“Filem ini berkaitan ilusi optikal; di mana apa yang kita lihat tidak semestinya kita nampak. “Ia tidak ada kena mengena langsung dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender),” katanya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Aeril berkata, dia kini baharu sahaja selesai menjalani penggambaran tiga telefilem antaranya Kuharamkan Susu Itu (TV9), Buku Cinta Ayah (TV3) dan Tetamu Ramadhan (TV3).

Selain itu, drama terbaharu lakonannya bersama Ummi Nazeera dan Izzue Islam, Patahnya Sebelah Sayap akan ditayangkan di slot Samarinda, tidak lama lagi

Previous Post Next Post