Angah Raja Lawak akhiri zaman duda


Angah selamat bernikah dengan Amira Asyurah dengan sekali lafaz di kediaman pengantin perempuan Melaka Perdana Homes Resort, pagi tadi.

PELAWAK dan pelakon Angah Raja Lawak, 38, selamat menamatkan zaman dudanya dengan gadis pilihan Amira Asyura Abd Razak, 20, dengan sekali lafaz kira-kira di kediaman pengantin perempuan di Melaka Perdana Homes Resort, kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Angah yang nama sebenarnya Iskandar Shah Hashim segak berkurta kelabu gelap dinikahkan dengan berwalikan jurunikah, Mohammad Suhaimi Kassim dengan mas kawin seutas rantai emas dan sebutir loket belian selain wang hantaran RM15,000.




Sejurus dinikahkan Angah kemudian mendirikan solat sunat syukur di depan pelamin yang indah dihiasi ros putih selain diletakkan lima dulang hantaran lelaki dan tujuh hantaran perempuan di kanan dan kiri pelamin.

Antara barangan hantaran lelaki untuk perempuan termasuk telekung, kasut, minyak wangi jenama Gucci, Kek, beg tangan jenama Versace manakala hantaran perempuan untuk lelaki antaranya kasut jenama Versace, kek, jam tangan dan lain-lain.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan di Dewan Tun Ali, Melaka pada keesokannya.

Previous Post Next Post