Debaran Pak Nil ke Hollywood


AZNIL NAWAWI pada pelancaran program saluran E!, Paknil Goes To Hollywood di Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas kejayaan program Selfie Pak Nil di LA, pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui program yang hampir sama berjudul Pak Nil Goes To Hollywood.

Dalam program tersebut, Aznil, 54, berkongsi pengalamannya sebagai wakil media dari Malaysia menghadiri majlis pra-tonton program terbaharu saluran E! di Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat sekitar Januari lalu.

Sungguhpun sudah mempunyai pengalaman mengendalikan program serupa, Aznil menjelaskan debaran yang dirasai sama seperti beliau mula bertugas sebagai wartawan penyiaran 26 tahun lalu.

“Alhamdulillah, sekali lagi saya ke Hollywood untuk menjayakan sebuah program saluran E!. Walaupun sudah berpengalaman, saya masih berdebar sebelum temu bual dijalankan kerana tidak tahu apa yang akan berlaku,” ujarnya yang ditemui pada sidang akhbar program Pak Nil Goes To Hollywood di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Menariknya, dalam program berdurasi 30 minit tersebut, selain melawat beberapa tempat menarik sekitar Los Angeles, beliau juga berpeluang menemubual hos rancangan Police Fashion, Giuliana Rancic secara eksklusif selama lapan minit.

Pertemuan kali kedua dengan hos antarabangsa terkenal itu diatur dengan cukup sempurna oleh Aznil. Bagi menyuntik kelainan, kali ini beliau meminta Rancic mengulas mengenai fesyen artis tempatan pada acara karpet merah.

Beliau menyediakan mini Ipad yang mengandungi 15 keping gambar artis Malaysia pada acara karpet merah majlis anugerah tempatan. Namun, disebabkan kekangan waktu, hanya lapan orang artis sahaja sempat menerima komen daripada Rancic. Antara artis tersebut ialah Juliana Evans, Hunny Madu, Didie Alias, Scha Alyahya, Awal Ashaari dan Hanez Suraya.

“Saya tidak sangka rancangan untuk menunjukkan fesyen artis tempatan telah menarik minatnya. Baginya artis Malaysia sangat pandai bergaya di karpet merah dan suasana temu bual berlangsung sangat santai seperti bertemu rakan lama,” kata Aznil.

Program Pak Nil Goes To Hollywood akan mula disiarkan pada 14 Mac nanti, pukul 10 malam di saluran E! (Astro 712).

Academy Awards

Dalam pada itu, Aznil yang telah terbang ke Los Angeles, pada malam Khamis lalu untuk membuat liputan acara karpet merah majlis Academy Awards ke-88 di Dolby Theatre, California pada malam Ahad (Isnin pagi waktu tempatan) sempat berkongsi keterujaannya bersama pihak media.

“Sudah tentu saya seronok dan teruja. Ini merupakan kali kedua diberi peluang untuk membuat liputan acara karpet merah majlis Academy Awards, namun jika dihitung secara keseluruhannya sudah empat kali saya ke Los Angeles atas urusan kerja.

“Saya berdebar sebab tidak tahu apa yang akan berlaku dan siapa artis Hollywood yang akan ditemu bual. Cabaran terbesar adalah bagaimana untuk menarik perhatian bintang popular untuk ditemu bual. Bayangkan dengan ratusan wakil media dari seluruh dunia, saya terpaksa bersaing untuk satu sesi temu ramah yang tidak sampai lima minit,” ujarnya yang membuat liputan tersebut untuk program HBO Sentral.

Menurutnya, meskipun hadir ke acara anugerah tersebut sebagai wakil media, impiannya untuk ke Hollywood sudah tercapai. Walaupun nampak mudah, tetapi Aznil sendiri mempunyai beberapa kekangan dalam diri seperti kurang keyakinan terhadap tahap penguasaan bahasa Inggeris.

“Saya mengaku bukanlah seorang yang cukup hebat dalam berbahasa Inggeris, namun apabila berada di sana segala kebimbangan itu hilang. Walaupun menggunakan bahasa Inggeris yang ringkas, namun apa yang saya tuturkan mudah difahami orang sekeliling.

“Jadi pengajarannya, tiada alasan untuk kita pergi jauh selagi berusaha dan percaya dengan kemampuan diri sendiri,” tutup Aznil.

Previous Post Next Post