Dia Fadilla mahu kembali aktif


MENGGALAS tanggungjawab sebagai guru vokal Bintang RTM 2016, Dia berharap mampu memberi pendedahan yang cukup buat para peserta.

NAMANYA pernah meniti di bibir peminat suatu ketika dahulu. Biarpun tidak sepopular penyanyi lain, namun barisan lagunya seperti Aku Masih Setia dan Tangisan Marhaenis gandingan bersama Datuk Hattan pernah menjadi siulan ramai.

Setelah mengambil keputusan untuk membesarkan dua puteri tersayang sejak beberapa tahun lalu, perjalanan karier seni Dia Fadila atau nama sebenarnya, Nur Fardilla Nadia Abu Bakar seakan hilang dan semakin dilupakan.

Namun kini, sudah tiba masanya buat penyanyi berusia 31 tahun itu aktif semula. Pembukaan tahun 2016 dilihat sebagai permulaan baik buat Dia apabila ditawarkan menjadi guru vokal untuk program realiti Bintang RTM 2006.

Teruja dengan kesempatan yang diberi, kata Dia, azamnya tahun ini adalah untuk kembali aktif dalam bidang seni.


KOSMO!: Tahniah Dia kerana dipilih untuk menjadi guru vokal dalam rancangan Bintang RTM 2016. Sebelum ini kita lihat anda seperti hilang dalam dunia seni. Ke mana anda selama beberapa tahun kebelakangan ini?

Dia Fadila: Memang diakui sejak beberapa tahun ini saya agak menyepi dan memperlahankan kerjaya seni. Saya berbuat demikian kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian membesarkan dua anak perempuan yang berumur lima dan dua tahun.

Alhamdulillah kini mereka sudah besar sedikit dan boleh tinggal bersama neneknya, jadi saya rasa pembukaan 2016 ini merupakan tahun untuk saya kembali aktif. Sebagai permulaan, saya menjadi guru vokal untuk peserta yang menyertai pertandingan Bintang RTM 2016.

Boleh kongsi sedikit kenapa anda bersetuju untuk menerima tawaran menjadi guru vokal dalam program tersebut?

Faktor utama saya menerima tawaran ini kerana saya juga merupakan artis yang lahir daripada RTM. Walaupun bukan daripada pencarian Bintang RTM tetapi saya lahir daripada rancangan Bintang Gala 2 pada tahun 1999. Sebagai salah seorang bakat yang dilahirkan daripada RTM, pastinya banyak pengalaman saya dapat dari sini. Apabila RTM menghubungi dan menawarkan untuk menjadi guru vokal, saya rasa amat teruja dan berbesar hati sebab Bintang RTM merupakan suatu jenama yang besar.

Anda pernah menjadi guru vokal untuk Bintang RTM 2009 dan kemudian rancangan Tiada Lama Tiada Baru pada tahun 2011, jadi apakah perancangan untuk memberi kelainan kepada peserta tahun ini?

Setiap juara yang lahir daripada Bintang RTM mempunyai kualiti suara tersendiri. Untuk Bintang RTM kali ini, saya akan cuba sedaya upaya membantu peserta supaya dapat meningkatkan lagi kualiti vokal mereka.

Saya lihat setiap peserta mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri, jadi saya harap dapat membantu mereka menonjolkan kelebihan, sekali gus menutup kelemahan yang ada. Itu merupakan harapan utama saya.

Dengan berbekalkan sedikit pengalaman, saya harap dapat membantu bukan sahaja dari segi vokal, malah untuk persembahan juga kerana kebanyakan mereka tiada pendedahan untuk berhadapan dengan kamera.

Seperti yang anda katakan, mereka kurang pendedahan untuk berhadapan dengan kamera. Adakah anda rasa itu cabaran buat anda untuk musim kali ini?

Ya, memang cabaran buat saya. Tambahan pula persaingan tahun ini juga agak sengit berbanding pada tahun 2009. Namun, mungkin cabaran kali ini tidak terlalu berat kerana mereka sudah mempunyai kekuatan vokal tersendiri, cuma masih terdapat beberapa bahagian sahaja yang perlu diperbetulkan.

Berbalik kepada kerjaya nyanyian pula, ada perancangan untuk mengeluarkan single terbaharu?

Ada tetapi ia masih dalam perbincangan bersama komposer yang sesuai dengan suara, konsep dan imej diri saya sendiri. Pada saya, untuk mengeluarkan lagu baharu, saya perlu memikirkan suatu genre yang bersesuaian dengan kehendak pendengar sekarang dan ia boleh menarik minat generasi sekarang. Sebab itu saya tidak terburu-buru muncul dengan single baharu.

Previous Post Next Post