Dua kali kemalangan, Syarul Ridzwan mahu tukar kereta


Syarul memerhatikan kereta jenis Honda City miliknya ketika kemalangan pada Selasa lalu.

TUJUH bulan lalu, nama pelakon yang sedang mengukir nama, Syarul Ridzwan, 26, berdepan insiden mencemaskan apabila kereta yang dipandunya terbabas di Seremban, Negeri Sembilan, sekitar pukul 3 pagi dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas penggambaran.

Nasib menyebelahi Syarul apabila dia tidak mengalami kecederaan serius. Kereta jenis Honda City berwarna putih yang rosak agak teruk ketika itu dihantar untuk dibaiki.

Namun, malang tidak berbau. Geruh tahun lepas nampaknya belum hilang apabila kereta yang baru beberapa minggu keluar dari bengkel tersebut sekali lagi terlibat kemalangan pada Selasa lalu. Kemalangan kali kedua melibatkan kereta sama, memberi satu petanda buat aktor drama Hati Perempuan itu membuat keputusan untuk menukar kenderaan baharu.

Biarpun kenderaan tersebut banyak berjasa kepadanya, Syarul mengakui sudah tawar hati untuk kembali membaiki atau mencantikkan kereta yang remuk teruk pada bahagian hadapan akibat kemalangan dua baru-baru ini. Berkongsi rasa tentang insiden berkenaan, Syarul bagaimanapun bersyukur kerana sewaktu kejadian, dia memandu bersendirian dan tidak membawa mana-mana penumpang.


Artis Meletop!: Boleh ceritakan sedikit apa sebenarnya terjadi pada hari Selasa itu?

SYARUL: Saya sebenarnya dalam perjalanan untuk mencari sarapan pagi di sekitar Subang Jaya. Saya dari Kota Damansara dan sedang memandu di lorong kanan lebuh raya. Secara tiba-tiba ada sebuah kereta datang dari arah kiri untuk memotong di hadapan dan mengejutkan saya. Saya cuba mengelak daripada merempuhnya tetapi akhirnya kereta saya yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Mengapa anda bersyukur kerana bersendirian pada ketika itu?

Saya sudah pernah mengalami kemalangan jadi saya sedikit tenang dan tahu apa yang perlu dilakukan. Jika ada penumpang di sebelah, mungkin dia akan panik dan merumitkan keadaan.

Adakah kereta berkenaan berhenti untuk melihat keadaan anda?

Tidak, dia terus memecut pergi dan saya terpinga-pinga seorang diri di tepi jalan menunggu peronda PLUS Malaysia Bhd. datang membantu.

Anda perasan atau tidak kereta yang melanggar anda itu jenis apa?

Tidak kerana sebaik sahaja saya terbabas, beg udara keluar dan bila keluar kereta, individu itu sudah tiada.

Anda mengalami sebarang kecederaan akibat insiden ini?

Tidak, Alhamdulillah. Cuma sedikit calar pada tangan ketika memusingkan kereta sewaktu terbabas.

Maaf bertanya, adakah anda memandu laju pada waktu itu?

Tidak, saya hanya memandu dalam lingkungan 60 sehingga 80 kilometer sejam sahaja pada masa kejadian. Ada juga orang yang komen pada gambar mengatakan saya memandu laju dan cara pemanduan bahaya tetapi mereka tidak ada di tempat kejadian.

Bagaimana kemalangan ini memberi pengajaran pada anda?

Saya tidak trauma tetapi mungkin ia mengingatkan saya agar lebih peka ketika memandu. Kemalangan kadang kala bukan berpunca daripada kita jadi berhati-hati dengan kenderaan sekeliling.

Apakah ini tanda untuk anda menukar kereta baharu memandangkan sudah dua kali terlibat kemalangan dalam kenderaan sama?

Mungkin juga tetapi bukan kerana badi cuma kali ini, enjin kereta sudah pecah. Jadi harapan untuk baik pulih agak tipis. Insya-Allah, jika ada rezeki lebih saya akan menukar kenderaan baharu.

Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran slot Akasia untuk Ramadan bertajuk Seindah Takdir Janji. Dalam drama berkenaan, saya akan bergandingan dengan Amyra Rosli.

Previous Post Next Post