Dwan Olan selesa solo


Dwan kini selesa bergerak secara solo.

JIKA disebut nama kumpulan Olan, pastinya himpunan lagu-lagu hit seperti Kenangan Semalam, Cinta Bandar Tasik Selatan, Kau Yang Satu dan Hiasan yang popular sekitar 1990-an menggamit kenangan.

Ironi, biarpun nama Olan seakan-akan terkubur sejak lebih 10 tahun lalu, namun vokalisnya Dwan atau nama penuh Mohd. Radzuan Yasin masih menumpahkan keringat dan minat dalam industri sebagai penyanyi.

Masih lagi mengekalkan nama kumpulan Olan di hujung nama, ternyata kesetiaan Dwan terhadap kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 tersebut masih utuh bertapak di hati sehingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, walaupun Olan sudah berpecah tetapi karier saya masih lagi berjalan seperti biasa. Ada saja undangan persembahan diterima.

“Itu terbukti bahawa Olan masih hidup dalam jiwa mereka.

“Kalau saya masih menyanyi sebab mahu jadi kaya, ia tidak mungkin akan terjadi. Tapi, saya masih aktif menyanyi sebab dengan cara ini membuatkan saya berasa puas walaupun tidak lagi diterima seperti dahulu,” ujarnya.


Ditanya apakah tidak pernah timbul perasaan rindu untuk kembali bergabung dengan semua anggota lama Olan, ini jawapan yang diberi Dwan: “Bukannya tidak mahu untuk bergabung semula, tetapi perkara itu seperti mustahil. Sebab zaman sekarang sangat berbeza dengan aliran muzik baharu yang bercambah dengan pantas dan kelompok generasi pelapis yang semakin ramai.

“Tambahan, sekarang semua rakan sudah mempunyai kehidupan sendiri serta berkeluarga. Mereka ada komitmen lain dan saya rasa agak sukar untuk kami kembali bersatu,” ujarnya.

Selain semakin selesa bergerak solo, penyanyi kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menambah, ada seperkara yang membuatkan niatnya untuk kembali bersatu dengan rakan-rakan lain terbantut.

“Sekarang permintaan untuk persembahan berkumpulan sudah kurang. Lagi-lagi seperti kumpulan kami yang sudah lama tidak aktif. Jadi, risikonya adalah kurang mendapat sambutan, tidak seperti zaman kegemilangan dahulu.

“Malah, ganjaran yang diberikan sangat tidak setimpal dengan bilangan anggota yang lebih daripada dua orang. Sebagai kumpulan, kami perlu menyediakan bermacam kelengkapan seperti susunan pentas, sistem bunyi dan sebagainya. Untuk itu sahaja sudah memakan belanja, tetapi jika upah yang diterima tidak berbaloi, tidak guna juga,” kesalnya.

Malah, bapa kepada seorang cahaya mata itu mengelak untuk menyertai sebarang pertandingan nyanyian realiti di kaca televisyen.

“Saya menolak kerana ia sebuah pertandingan dan konsep pertandingan ada menang dan kalah. Ada juga yang disingkir tidak kira pada awal atau akhir pertandingan. Daripada situ saya melihat ia akan mempengaruhi semangat, kehidupan dan tawaran persembahan seseorang artis tersebut selepas tersingkir kelak.

“Tetapi, daripada sudut positif pula ia sangat membantu menaikkan kembali nama penyanyi-penyanyi lama yang sebelum ini menyepikan diri daripada industri.

“Buat masa sekarang saya memang tidak mahu menyertai mana-mana pertandingan, tetapi andai kata suatu hari nanti saya terbuka hati untuk menyertai, doakanlah,” katanya.

Menceritakan perkembangan terkininya, Dwan telah menghasilkan dua buah single baharu pada tahun lalu berjudul Mahligai Kasih dan sebuah lagu yang diberi nafas baharu, Kenangan Semalam. Dwan turut merakamkan sebuah lagu berjudul Destination yang merupakan lagu versi bahasa Inggeris untuk Kenangan Semalam.

Previous Post Next Post