Fasa suram Robert De Niro


ROBERT DE NIRO

Aktor tersohor Hollywood, Robert De Niro yang muncul dengan filem baharu lakonannya, Dirty Grandpa, dikritik pemerhati seni dunia sebagai sedang mengalami fasa suram dalam kariernya.

Kritikan tersebut muncul apabila De Niro, 72, dikatakan tidak sepatutnya berlakon menerusi filem Dirty Grandpa yang disifatkan tidak menepati piawaian dan kualiti sebuah naskhah yang baik, seperti lakonannya sebelum ini.

Terkenal dengan karakter hebat dalam filem The Godfather dan Taxi Driver, menerusi naskhah komedi itu, aktor tersebut melakonkan babak merapu seperti memakan bertih jagung sambil menonton filem porno.

“Apa yang telah terjadi kepadanya? Adakah dia begitu terdesak mengambil tawaran lakonan berkenaan,” tanya seorang pemerhati filem antarabangsa.


Persoalan tersebut dijawab oleh penulis biografi aktor itu, James Ursini yang mengatakan De Niro terpaksa berbuat demikian bagi memastikan kehidupan anak-anak dan cucu-cicitnya pada masa akan datang tidak dibebani masalah kewangan.

“De Niro mempunyai dua sebab terlibat di dalam sesebuah naskhah. Pertama, ia milik rakan-rakannya walaupun skrip mungkin kurang menarik. Kedua pula kerana duit.

“Bukan dia tidak ada duit atau sudah jatuh miskin, tetapi dia lebih memikirkan masa hadapan dan kesenangan anak-anak serta keluarganya kelak,” ujar Ursini.

De Niro mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan pertamanya. Aktor tersebut memiliki sepasang kembar hasil hubungannya dengan bekas kekasih dan seorang anak berusia empat tahun yang merupakan zuriat bersama isteri baharunya, Grace Hightower.

Previous Post Next Post