Gerak Khas lonjak nama Tisha Shamsir


NAMA Latisha Shamsir Alam barangkali masih asing bagi sesetengah peminat industri seni.

Namun bagi mereka yang setia dengan drama bersiri Gerak Khas, pasti sedar dengan kehadiran anggota berpangkat Inspektor bernama Tisha.

Sudah bersama produksi Gerak Khas sejak tiga tahun lalu, figura yang dikenali dengan nama Tisha ini tidak menafikan drama tersebut sedikit sebanyak melonjakkan lagi namanya di dalam industri seni.

"Tiga tahun bersama Gerak Khas, saya tidak menafikan sangat enjoy bersama produksi Skop Production dan rasa sangat bangga dapat bekerja di bawah penerbit seperti Datuk Yusof Haslam.

"Memang sangat selesa bekerja dengan beliau dan diam tak diam, sudah tiga tahun saya terlibat dengan drama Gerak Khas," katanya kepada Zass.

Menurut Tisha, antara sebab lain dia terus setia bersama Gerak Khas adalah kerana drama tersebut telah melunaskan impiannya.

"Saya dulu pernah bercita-cita nak jadi polis. Tapi bila berlakon sebagai polis, saya rasa seperti cita-cita saya dah pun menjadi kenyataan.

"Selain itu, saya rasa bertuah kerana drama dan karakter yang dibawakan bukan menampilkan hiburan semata-mata, tetapi juga boleh mendidik dan memberi pengajaran kepada penonton," ujarnya.


Dalam pada itu, di tebak mengenai gambarnya yang pernah dikritik hebat beberapa bulan lalu, Tisha berkata, biarpun gambar itu bukan di muat naik olehnya, namun dia mengambil iktibar daripada dugaan tersebut.

"Tidak dinafikan, kerana sekeping gambar, ramai yang mengkritik dan menyebarkan. Namun hakikat, laman sosial saya telah digodam dan pihak yang tidak bertanggungjawab itu telah memuat naik gambar lama saya.

"Bagaimanapun saya telah pun membuat laporan polis dan memadam gambar tersebut kembali.

"Saya juga mengambil iktibar kini dengan mengelak untuk memakai pakaian terlalu seksi, yang boleh mencalarkan imej saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tisha berkata, selain sibuk dengan penggambaran Gerak Khas, dia juga baru selesai menjalani penggambaran drama Mek Kelate terbitan Zeel Production dan drama Bodyguard terbitan A Aida Production.

Previous Post Next Post