Hafiz Hamidun Diugut Pukul Kerana Nasihat Di Laman Sosial


Hafiz Hamidun menunjukkan bukunya terbaharunya.

Penyanyi Hafiz Hamidun pernah diugut pukul oleh seorang lelaki gara-gara tulisan nasihatnya yang sering menjadi viral di laman sosial.

Hafiz, 32, berkata, individu tersebut menuduh dia menjadi punca rumah tangganya menghadapi masalah.

"Tahun lepas ada seorang lelaki telefon saya tengah malam dan mengugut untuk menghantar orang memukul saya.

"Lelaki tersebut menyalahkan tulisan dan kata-kata saya di Facebook sebagai punca pergaduhan dengan isterinya," ujar Hafiz kepada mStar Online pada pelancaran lagu terbitan syarikat rakaman miliknya Arteffect International di Pitching Centre, KL Sentral, di sini, Khamis.


Hafiz Hamidun.

Hafiz berkata, dia mengambil keputusan tidak melayan dan menyekat nombor telefon tersebut bagi mengelakkan perkara buruk berlaku.

Sementara itu pada majlis berkenaan Hafiz turut melancarkan buku Cerita Hati Hafiz Hamidun terbitan Nubook yang menghimpunkan 300 kata-kata nasihat yang pernah ditulis di laman sosialnya.

Hafiz berkata, tulisan kata-kata nasihat itu merupakan catatan apa yang berlaku disekelilingnya yang boleh dijadikan pengajaran kepada orang lain.


Dia memulakan aktiviti menulis kata-kata nasihat itu setiap hari sejak lima tahun lalu sehingga mendapat perkongsian ratusan ribu pengikut di laman Twitter dan Facebook.

"Saya suka menulis sesuatu yang boleh beri ingatan pada saya dan orang lain yang membacanya. Saya tahu ramai yang retweet atau repost kata-kata itu semula dengan tujuan untuk sindir orang lain.

"Ada juga yang hantar kata-kata itu kepada suami-suami mereka dengan tujuan sindir. Namun saya tidak berniat begitu, apa yang ditulis itu adalah apa yang saya lalui dan secara umum sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, dia sentiasa memastikan apa yang ditulis itu tidak menyentuh atau melibatkan mana-mana parti politik tertentu.


Hafiz Hamidun (tujuh dari kiri) bersama rakan-rakan artis pada pelancaran album terbitan syarikat rakaman miliknya Arteffect International.
Dia tidak mahu ada dikalangan pengikut laman sosial yang kini berjumlah 2.2 juta itu berbalah disebabkan fahaman berbeza.

"Pengikut saya ada terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelbagai parti politik dan seboleh-bolehnya saya mengelak untuk bercakap tentang isu tersebut. Jika menulis pun ia secara umum sahaja," katanya.

Sementara itu, bercakap tentang majlis pelancaran syarikat rakaman berkenaan,Hafiz berkata, ia merupakan syarikat yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

Antara album yang dilancarkan ialah Anakku Sayang (Siti Nordiana), Maksud Hidup (Suhaimi Saad), The Mikraj (The Mikraj), Mawlay (Mahmood Al-Wasoby) dan The One (Muhammad Yaseen).

Hafiz turut melancarkan single terbaharunya berjudul Janjiku dan juga lagu ciptaannya iaitu Kalah Dalam Menang yang dinyanyikan oleh Syamsul Yusof dan Mawi untuk lagu tema filem Munafik.

"Syarikat rakaman ini saya usahakan sejak lima tahun lalu dan kami banyak berkolaborasi dengan artis-artis dalam dan luar negara.

"Insya-Allah dalam bulan Mei depan saya juga akan mengadakan sebuah konsert berjudul Hafiz Hamidun And Friends di Kuching, Sarawak dengan kerjasama Sony Music," ujarnya.

Previous Post Next Post