Hazman lebih popular di Indonesia


EMPAT tahun menjalani karier sebagai seorang penyanyi bukanlah mudah buat jejaka berusia 28 tahun ini untuk terus mencipta nama.

Menyingkap semula perjalanan awalnya, Hazman akui pelbagai cabaran yang harus dilalui sekali gus pengalaman itu lebih menguatkan dirinya untuk mengejar cita-cita untuk bergelar anak seni.

“Karier nyanyian bermula selepas saya menjuarai Pencarian Remaja Berbakat Media Hiburan 2012 sekali gus melayakkan saya untuk bergelar penyanyi di bawah label rakaman Suria Records (SRC).

“Ternyata permulaan mencipta nama bukanlah mudah apabila single pertama ‘Cinta Jangan Pergi’ ciptaan komposer Zimi Sofaz dan lirik dari Epul Drama Band tidak mampu menonjolkan nama saya ketika itu.

“Begitu juga dengan percubaan untuk single kedua Hidup Ini Indah juga tidak menyebelahi saya apabila kami terpaksa memperlahankan promosi lagu ini gara-gara ketika itu negara sedang ditimpa tragedi sedih MH370,” katanya.

Walaupun kegagalan sering menemuinya, Hazman yakin setiap yang berlaku pasti terselit hikmah yang tersembunyi.

“Walaupun dua percubaan saya tidak menjadi, tapi saya enggan putus asa kerana saya percaya rezeki untuk saya masih ada dalam bidang ini.

“Atas persetujuan bersama SRC, saya tampil dengan single ke tiga Tersiksa, ciptaan penuh dari Dj Fuzz.

“Alhamdulillah, kali ini ia berhasil. Sambutan yang diterima sangat baik dan menerusi lagu ini saya mula dikenali,” katanya sambil tersenyum.


Cipta nama

Kerja keras dan sikap tidak mudah berputus asa akhirnya berbaloi apabila Hazman ditawarkan oleh SRC untuk mewakili Malaysia dalam menyertai program realiti D’Academy Asia (DAA) di Jakarta, Indonesia.

“Sebenarnya saya sendiri pada awalnya tidak yakin untuk sertai pertandingan ini memandangkan genre dangdut sangat asing buat saya.

“Tapi tidak sangka pula saya terpilih dan saya bangga kerana berjaya bertahan sehingga ke top 10. Mana tidaknya, peserta lain yang ada bukanlah calang-calang.

“Apa yang penting adalah pengalaman yang saya timba di sana mungkin tidak akan dapat di mana-mana,” katanya teruja.

Lebih menggembirakannya, kemunculannya dalam pertandingan tersebut juga telah membuka satu lagi ruang kerjayanya apabila dia mula ditawarkan untuk berlakon di sana.

“Alhamdulillah namanya rezeki. Seminggu selepas pulang, saya dipanggil semula ke Indonesia untuk tawaran lakonan dua telefilem di sana iaitu ‘Aku Hanya Butuh Maaf Anakku’ dan ‘Jodoh Tangan Illahi’.

“Ini kali pertama saya berlakon dan memang mencabar tambahan pula bahasanya juga berbeza.

“Walaupun saya sendiri tidak berpuas hati dengan lakonan sendiri namun saya anggap ini sebagai satu permulaan yang baik buat saya di sana.

“Saya sangat bersyukur selepas lakonan itu, lebih ramai peminat di sana mengenali saya,” katanya yang tidak akan menolak sekiranya ditawarkan untuk menjalani karier di sana.

Profil

Nama: Syed Hazman Syed Yusof
Asal: Terengganu
Umur: 28 tahun
Kerjaya: Penyanyi& pelakon

Previous Post Next Post