Janna Nick Berlakon tetap keutamaan saya


PELAKON sedang meningkat naik, Janna Nick mengakui bidang lakonan tetap menjadi keutamaannya walaupun kini menambah satu lagi profesion iaitu penyanyi.

Menurut empunya nama Nurul Jannah Munir ini, kelahiran single sulungnya, Mungkin Saja adalah percubaan untuknya pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.

“Sejak di bangku sekolah, saya sering terlibat dengan pertandingan nyanyian, bagaimanapun sudah rezeki, lakonan datang dahulu dan berjaya melonjakkan nama saya dalam bidang seni.

“Kerana itu, saya tidak mahu mengabaikan karier sebagai pelakon dan fokus kepada nyanyian, sebaliknya akan terus mendahulukan bidang lakonan.

“Cuma, jika ada waktu lapang, barulah saya akan berikan masa kepada nyanyian,” katanya ketika ditemui selepas sesi fotografi Duta DFKL 2016 baru-baru ini.


Ditanya adakah keputusan yang diambil untuk bergelar penyanyi agak terburu-buru, akuinya, dia cuba merebut peluang yang ada ketika namanya sedang menjadi perhatian.

“Kalau nak kata terburu-buru, bagi saya tidak, lagi pun saya cuba menguruskan masa dengan baik untuk membahagikan kerjaya pelakon dan penyanyi.

“Bukan nak kata saya tamak, tetapi kerana permintaan peminat, saya lahirkan single tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kau Aku Kita ini memberitahu, dia berharap single sentuhan komposer Kunci Demak itu diterima baik.

“Alhamdulillah, sehingga kini respons pendengar dan peminat sangat baik. Saya sendiri sudah berikan yang terbaik untuk lagu ini.

“Bagaimanapun, saya yakin ia diterima kerana melodinya yang catchy dan fun,” katanya Mungkin Saja bergenre pop.

Previous Post Next Post