Janna Nick terima teguran peminat



KATA Janna, penglibatannya dalam bidang nyanyian bukan atas dasar tamak sebaliknya bagi melengkapkan profil diri sebagai seorang penghibur serba boleh.

TIDAK hanya berbakat dalam bidang lakonan, kini pelakon muda yang semakin meningkat naik ketika ini Janna Nick memulakan langkah baharu dalam lapangan dunia hiburan apabila mengeluarkan single pertama berjudul Mungkin Saja.

Biarpun penglibatannya dalam bidang nyanyian mendapat galakan daripada peminat yang rata-rata menyukai bakatnya, namun pelakon berusia 22 tahun itu berasa ia hanya permulaan untuk dunia baharunya. Malah, selepas Mungkin Saja kini menjadi perhatian, Janna sempat dikritik sebagai masih belum mempunyai kualiti yang baik sebagai seorang penyanyi.


Artis Meletop!: Janna Nick, nama anda baru ingin harum dalam bidang lakonan, tetapi kini pantas menjadi penyanyi pula. Boleh ceritakan mengenai single pertama, Mungkin Saja?

Janna Nick: Single tersebut digubah sepenuhnya oleh Kunci Demak dan bergenre pop. Saya mendapat lamaran untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Hikayat Records. Segalanya bermula selepas saya melakukan rakaman slot Akustika untuk radio Hot FM pada tahun lalu. Semasa mendapat tawaran tersebut, ada beberapa buah lagu yang diberikan kepada saya. Bagaimanapun, saya pilih lagu Mungkin Saja sebab terpaut dengan lirik dan melodinya.

Apakah yang membuatkan anda berani mencuba bidang nyanyian pula?

Sebenarnya minat dalam bidang nyanyian sudah lama ada. Seingat saya, sejak kecil lagi memang sudah suka menyanyi. Pada zaman sekolah, saya agak aktif juga menyertai beberapa pertandingan nyanyian. Selain memang minat dengan bidang nyanyian, sebenarnya percubaan saya mengeluarkan single pertama adalah untuk melebarkan sayap karier seni. Dalam erti kata lain, saya mahu dikenali sebagai seorang penghibur serba boleh. Ada banyak lagi ruang kosong yang boleh saya isi, jadi daripada dibiarkan begitu sahaja baik saya cuba. Lagipun, dari situ saya dapat kenal pasti kebolehan diri sendiri.

Bagaimana anda sebenarnya mahu dikenali dalam kalangan peminat? Sebagai pelakon atau penyanyi?

Saya rasa tidak ada masalah untuk mencuba perkara baharu memandangkan usia saya juga masih muda dan tidak mahu meletakkan aras karier pada bidang lakonan semata-mata. Lagipun, kalau kita luaskan pemahaman kepada makna seorang penghibur, ia sangat luas. Penghibur merangkap semua bidang iaitu lakonan, nyanyian, muzik dan pengacaraan. Jadi, selagi ada kesempatan saya mahu cuba buat banyak perkara. Tetapi, ia tidak bermakna saya tamak. Kalau peluang ini dapat kepada orang lain, saya percaya mereka akan lakukan perkara sama seperti saya. Sejujurnya, saya mahu cari sesuatu yang dekat dan serasi dengan diri.

Sebelum melebarkan karier sebagai penyanyi, adakah anda melakukan persiapan seperti mengikuti kelas vokal?

Kalau ikutkan, saya tidak layak untuk bercakap tentang muzik. Sebab saya bukan dilahirkan dalam industri ini pada awalnya sebagai penyanyi, sebaliknya pelakon. Disebabkan itu, saya ada juga mendapatkan tunjuk ajar daripada guru vokal dan kelas nyanyian tentang cara nyanyian dengan betul dan memastikan pada masa hadapan akan dapat memperbaiki nyanyian. Sebab buat masa sekarang saya suka mendengar respons daripada peminat tentang mutu nyanyian saya.

Baiklah, beralih kepada perkembangan terkini anda. Apa yang terbaharu daripada anda selain nyanyian?

Sekarang saya sedang sibuk dengan persembahan teater Zombie La La La di Istana Budaya sehingga 21 Februari ini. Insya-Allah, dalam bulan Mei nanti saya akan menjalani penggambaran filem pertama saya berjudul Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang. Saya memegang watak antagonis dan penggambaran akan dijalankan di Korea Selatan. Malah, single Mungkin Saja juga digunakan sebagai runut bunyi untuk drama terbaharu terbitan Astro, Suami Tanpa Cinta yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Bagaimanakah perjalanan teater tersebut memandangkan ini kali pertama anda berlakon teater?

Ini kali pertama saya berlakon dalam persembahan teater dan Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Walaupun semua pelakon lain sudah senior, tetapi mereka yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya untuk memberi hasil yang terbaik.

Previous Post Next Post