Jodoh istikharah Yatt Hamzah


MESKIPUN hanya tujuh bulan bergelar ibu tunggal, pelakon dan pengacara Yatt Hamzah mengakui pengalaman lalu membuatkannya serik dan trauma untuk menerima insan baharu dalam hidupnya.

Pun begitu, kalau sudah namanya jodoh, selebriti berusia 36 tahun ini reda dengan segala ketentuan yang ditetapkan Yang Maha Esa.

Hanya sekali lafaz, Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah kembali bergelar isteri selepas diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, tepat jam 9 pagi, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

Dalam majlis pernikahan itu, Yatt yang berwalikan hakim menerima sebentuk cincin berlian dan mas kahwin RM300, manakala nilai wang hantaran dirahsiakan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana majlis ini berjalan lancar. Terus-terang saya katakan, pada awalnya saya tidak yakin untuk berkahwin sekali lagi lantaran terkenang pengalaman lalu. Tapi, inilah yang dinamakan jodoh, bahkan saya kerap melakukan solat istikharah sebelum menerimanya sebagai pasangan hidup," katanya kepada Zass selepas majlis pernikahannya itu.

Sebelum ini, Yatt mendirikan rumah tangga dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor pada 29 Mac 2009, namun berpisah pada Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan, Suci Hanania Malika yang kini berusia enam tahun.

Kata Yatt, kehadiran Mohammad Zulfadhli mengubati kekosongan hatinya berikutan ditinggalkan insan tersayang dalam hidupnya.

Katanya, penceraian yang dialami dan pemergian bapanya, Hamzah Hashim akibat barah paru-paru pada November 2015, meninggalkan kesan mendalam kepadanya.

"Selepas bercerai, saya kehilangan abah tersayang apatah lagi saya sangat rapat dengannya. Situasi itu menyebabkan ada ruang kosong dalam hati saya. Siapa sangka, kehadirannya benar-benar melengkapkan hidup saya," katanya.

Bekas pengacara program Al Hidayah ini memberitahu, Mohammad Zufadhli memiliki keperibadian tinggi sekali gus menyebabkan dia jatuh cinta sekali lagi.

"Dia seorang yang sangat istimewa. Saya terpikat dengannya kerana akhlaknya yang tinggi. Selain itu, dia juga penuh dengan sifat kesabaran dan kelembutan. Ia merupakan ciri-ciri yang saya dambakan sebelum ini. Alhamdulillah, ALLAH SWT memakbulkan doa saya dan ini adalah hadiah yang terbaik berbanding sebelum ini.

"Saya harap dia boleh terima saya dan anak seadanya seterusnya membimbing ke arah keluarga sakinah dan dirahmati ALLAH SWT,” katanya.


Ketika ditanya mengenai perancangan selepas ini, Yatt berhasrat untuk 'melamar' suaminya itu menyertai perniagaan yang diusahakannya, Suci By Yatt Hamzah.

"Saya bukan sahaja menginginkannya sebagai pasangan hidup tetapi juga rakan kongsi perniagaan. Itu adalah cadangan saya dan terserah kepadanya," katanya.

Bagi Mohammad Zulfadhli pula, hubungan dengan isterinya itu bermula selepas dipelawa untuk mengikuti kelas Usrah demi mendalami ilmu agama.

"Di kelas Usrah, kami berkenalan dan hubungan kami mula rapat. Malah, pada awalnya saya menganggap dia sebagai kakak," katanya.

Jelasnya, istimewa Yatt di matanya adalah cara wanita itu membawanya ke arah kehidupan Islamik.

"Kebetulan, saya dalam proses 'mencari' sesuatu ke jalan diredai ALLAH SWT.

"Dia seorang yang sangat mengambil berat terhadap anaknya bahkan hubungannya dengan keluarga juga cukup rapat," katanya.

Memilih Istanbul, Turki dan Krabi, Thailand sebagai lokasi berbulan madu, pasangan ini juga mengimpikan untuk memiliki empat cahaya mata.

"Kami punya minat dan hobi yang sama. Jiwa kami lebih kepada aktiviti kebajikan dan misi kemanusiaan.

"Insya-ALLAH, dia akan ke Syria pada Mac nanti dan sekiranya ada kuota lebih, saya teringin mengikutnya sekali," kata Yatt sambil menjeling manja kepada suaminya.

Pada masa sama, pasangan ini turut mengharapkan agar perkahwinan yang dibina itu akan berkekalan hingga ke syurga.

"Seperti mana, insan-insan lain, kami turut mengharapkan yang terbaik dan mampu membawa hingga ke syurga. Memberi kebahagiaan seterusnya perkahwinan ini 'ladang' kami mengutip pahala," katanya.

Tenang hadapi kontroversi

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kontroversi yang terpaksa dihadapi, pasangan sama cantik sama padan ini mengakui tidak tertekan dan enggan menoleh ke belakang.

Bahkan, Mohammad Zulfadhli yang merupakan seorang juruvideo mengambil langkah untuk tidak melayan sebarang gosip.

"Saya ini jenis yang tidak melayan media sosial walaupun saya sendiri ada platform sendiri. Keadaan itu membuatkan lebih tenang dalam menangani isu ini," katanya.

Sambil mencelah, Yatt mengakui bersyukur kerana suaminya matang dalam menangkis kontroversi meskipun baru berusia 26 tahun.

"Dia bukanlah seorang yang kelam kabut atau panik sebaliknya sangat tenang. Malah, dia juga profesional. Sebenarnya apabila ditimpa dengan pelbagai gosip dan tohmahan, ia ujian dari ALLAH SWT. Alhamdulillah, kami bersyukur kerana sentiasa dikelilingi sahabat dan keluarga yang sering menyokong dan menyalurkan kekuatan," katanya.

Sebelum ini, Mohammad Zulfadhli dikatakan menjadi orang ketiga sekali gus punca kepada perpisahan Yatt dan bekas suaminya. Namun, ia segera dibidas Yatt.

Mengenai isu penjagaan anak pula, kata Yatt, tiada persetujuan secara lisan yang dilakukannya dengan bekas suaminya.

"Saya tidak pernah membuat perjanjian seperti itu. Semua orang tahu saya menyayangi anak dan apa jua keputusan yang dibuat adalah semata-mata kerana anak saya.

"Demi ALLAH SWT, ia tidak berlaku. Anak saya akan tetap bersama saya sehingga akhirat," katanya.

Previous Post Next Post