Jodoh selepas enam bulan Nas-T, Atita


MESEJ PERTAMA - Disebabkan perasaan gementar dan malu, pengurusnya Amran menjadi perantara pertama yang terpaksa menghantar mesej ‘hai’ kepada Atita menggunakan telefon milik pelakon tersebut.

HUJUNG minggu lalu, nama pasangan Nas-T dan Atita Haris menjadi tumpuan gara-gara pernikahan secara ‘rahsia’ mereka yang berlangsung di Surau Al-Ikhlas, Subang Jaya, Selangor pada pagi Jumaat, 29 Januari lalu mula dihidu pihak media.

Pernikahan itu terdedah secara tidak sengaja apabila Nas-T menggubah status daripada solo kepada sudah berkahwin dalam akaun Facebook miliknya. Jika mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 4 Mac nanti.

Tindakan mempercepatkan perkahwinan tersebut secara tidak langsung telah mengundang banyak tanda tanya. Bagi menjernihkan keadaan, Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 32, serta isteri telah mengadakan sebuah sidang akhbar khas pada Rabu lalu bertempat di QNA Republic, Bangi, Selangor.

Sambil jari-jemari Atita atau nama sebenarnya Nur Atiqah Haris, 24, dipegang erat, Nas-T menjawab satu persatu soalan penuh jujur.

Akuinya, dia langsung tiada berniat untuk menyembunyikan majlis pernikahan tersebut. Sebaliknya, majlis berkenaan dipercepatkan atas permintaan pihak keluarga yang bimbangkan situasi tidak baik apabila gambar kursus perkahwinan mereka menjadi viral di internet.

“Saya tiada niat mahu menyembunyikan perkahwinan kerana akhirnya orang akan tahu juga. Cuma tempoh merancang pernikahan hanya sebulan dan dilakukan cukup ringkas dan sederhana. Atas permintaan keluarga, majlis pernikahan dilakukan secara tertutup, jadi kami menurut sahaja.

“Selain itu, jadual kerja kami berdua agak padat selepas Mac dan akan jarang berjumpa. Jadi, lebih baik dipercepatkan perkara yang afdal iaitu akad nikah,” kata Nas-T yang akan mengadakan majlis resepsi berkonsep perkahwinan dalam taman pada 4 Mac nanti di One City Hotel, Subang Jaya, Selangor.

Berbicara lanjut tentang keputusan untuk berkahwin sedangkan mereka hanya sempat bercinta selama enam bulan, pelakon filem Kami The Movie itu menjelaskan, semuanya berlaku tanpa dirancang.

Menurutnya, mereka mula berkenalan sekitar tahun lalu apabila sama-sama dilantik menjadi duta sebuah produk. Sejak itu, Nas-T sudah tertarik dengan personaliti Atita.

Selepas mengenali hati budi janda kepada seorang anak Nur Sofia Hazrulfadli, 4, itu, dia yakin wanita tersebut merupakan calon yang tepat untuk dijadikan suri hidup.

“Ketika saya berkenalan dengannya, dia telah pun bercerai selama setahun. Saya menghormati statusnya sebagai ibu tunggal muda dan kagum dengannya yang mampu menguruskan anak, perniagaan serta kerjaya dengan baik.

“Disebabkan keserasian dan kematangan, kami sepakat untuk terus berkahwin. Tiada adegan melamar, cukup hanya perbincangan antara kami berdua,” ulas Nas-T.



Bapa segera


BABAH Sofia sudah terbiasa memanggil Nas-T dengan panggilan abang ‘hite’ (abang hitam). Kini, Nas-T mula mengajar Sofia memanggilnya sebagai babah.

Biarpun Atita berstatus janda, di mata Nas-T wanita itu cukup sempurna, malah pihak keluarga memberi restu saat pertama kali membawa pulang calon isteri bertemu ibu bapanya.

“Keluarga tidak ada masalah kerana ibu saya juga berkahwin dengan bapa yang ketika itu berstatus duda. Mereka terus berkenan dengan Atita ketika kali pertama berjumpa. Semua orang ada masa silam, begitu juga dengan saya, jadi status itu bukan masalah sebaliknya ia pakej terbaik kerana terus dapat anak segera selepas berkahwin,” luah Nas-T.

Bercakap soal anak tirinya Sofia, Nas-T menyifatkan gadis kecil tersebut sebagai anugerah terindah yang pernah diperoleh dalam hidupnya. Disebabkan anak kecil yang memanggilnya sebagai abang ‘hite’ (abang hitam) hatinya terbuka luas untuk melayari bahtera keluarga bersama Atita.

Kehadiran Sofia membuatkan kehidupannya terasa lengkap dan mahu segera membentuk sebuah keluarga secara rasmi. Justeru, Nas-T tidak berfikir panjang untuk berkahwin meskipun hanya berkenalan dengan Atita selama enam bulan.

“Sofia mendekatkan lagi hubungan saya dengan Atita. Saya cukup rapat dengannya dan sudah anggap dia seperti anak sendiri. Sofia membuatkan saya melihat institusi perkahwinan daripada sudut pandangan berbeza. Dia mematangkan saya dan membuatkan perasaan untuk mempunyai keluarga sendiri lebih kuat.

“Sebenarnya Sofia mempercepatkan proses penyesuaian diri saya dalam kehidupan berumah tangga. Sungguhpun begitu, jika dikurniakan rezeki, saya teringin sebuah keluarga besar kerana rumah terasa lebih meriah apabila tua kelak,” kata Nas-T.

Disoal tentang perubahan kehidupan sejak berumah tangga, sambil menjeling manja ke arah isterinya, Nas-T memberitahu, kehidupannya kini lebih lengkap. Diakui, Atita mendorongnya ke arah kebaikan dan lebih dekat dengan Allah.

“Saya memilihnya kerana dia mempunyai asas agama yang kukuh. Kesedaran untuk pilih wanita sedemikian datang sendiri. Dahulu, saya memang seorang yang nakal. Namun, seiring peredaran usia, saya lebih matang dan berazam menjadi lelaki lebih baik terutama tentang agama,” ujarnya yang merancang untuk berbulan madu di sebuah pulau suatu masa nanti.

Nas-T di mata Atita

Masih malu-malu di sisi Nas-T, akui Atita, selama setahun menjalani kehidupan solo, merupakan lelaki pertama yang hadir mengisi kekosongan hatinya.

Di mata Atita, Nas-T merupakan lelaki terbaik untuknya, sekali gus zaman silam suami dibiarkan berlalu tanpa banyak bicara. Sejak awal pertemuan lagi, Nas-T juga menjelaskan semua perkara tentang dirinya sama ada baik dan buruk.

“Dia artis dan ada zaman silam yang kelihatan agak nakal, namun semua itu tidak menakutkan saya untuk didekati dan mendekatinya dengan lebih lanjut. Saya mengambil keputusan menerima Nas-T seadanya, barang yang lepas hanyalah sejarah.

“Apa yang penting dia jujur terhadap saya. Selain itu, dia seorang yang amat penyayang. Bukan sahaja saya, bahkan juga Sofia. Sebagai seorang ibu, faktor tersebut menjadi kunci yang membuka hati untuk kembali berkahwin.

“Sebenarnya sejak hidup solo, dia lelaki pertama yang cukup serasi dan boleh bercerita apa sahaja dengan saya. Kami satu kepala dan saling menyokong antara satu sama lain,” tuturnya yang memiliki perniagaan wangian, tudung serta pakaian jenama sendiri.

Sungguhpun berkahwin dengan seorang lelaki bergelar selebriti, Atita tidak pernah bimbang akan tumpuan khalayak kepadanya. Baginya, memadai menjadi diri sendiri tidak kira di mana berada.

“Soal dugaan berkahwin dengan artis, bagi saya semua orang ada dugaan tersendiri. Nas-T dikenali dan jika ada peminat yang menyapanya di Instagram atau di luar, saya okey sahaja kerana itu memang kehendak kerjanya.

“Saya tidak perlu berubah hanya kerana semakin dikenali, cukuplah menjadi diri sendiri. Hanya satu pinta saya, harap semua orang doakan perkahwinan kami bahagia sampai ke akhir hayat,” kata Atita menutup bicara.

Previous Post Next Post