Juzzthin tulis lagu untuk ibu


POPULAR menerusi rancangan televisyen Oh My English!, Juzzthin kini menzahirkan kecintaannya dalam bidang muzik untuk bergelar penyanyi apabila melancarkan album sulungnya, Class In Session.

IBU merupakan insan yang paling berpengaruh dalam diri setiap individu. Baik soal peribadi mahupun kerjaya, ibu merupakan inspirasi dan tunggak utama untuk setiap individu mendaki puncak kejayaan.

Ungkapan itulah yang cuba untuk disampaikan oleh penyanyi rap, Juzzthin. Sejak memulakan karier sebagai penyanyi dan pencipta lagu, ibunya, Noraini Jamil merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menyokong perjalanan kerjaya seninya.

“Ibu merupakan seorang wanita yang bersifat terbuka. Dia sentiasa menyokong kerjaya seni saya walaupun pada ketika itu saya masih belajar di sekolah.

“Jadi, bagi memberi penghargaan kepadanya, saya telah tulis dan rakam sebuah lagu berjudul Bonda yang dimuatkan dalam album sulung saya, Class In Session,” ujar Juzzthin usai pelancaran album sulungnya di Pejabat Warner Music, Petaling Jaya baru-baru ini.

Juzzthin atau nama sebenarnya, Mohamad Nazreen Norzali berkata, selain ditulis dengan penuh emosi, pengisian lirik lagu tersebut jelas menggambarkan kasih sayang yang terjalin antara mereka.


“Ini merupakan hadiah yang paling bermakna buat ibu saya. Walaupun dia masih belum memberi sebarang komen terhadap ini, tetapi saya tetap menjadikan ia sebagai karya paling istimewa yang pernah saya rakamkan,” ujarnya.

Menerusi album perdananya, Juzzthin berpeluang bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri muzik. Antaranya DJ Fuzz selaku penerbit bersama album dan penyanyi serta pelakon, Maya Karin yang diundang sebagai rakan duet menerusi lagu Serik Dengan Cinta.

Bercerita lanjut mengenai kerjasama tersebut, Juzzthin berasa sungguh berbesar hati kerana diberi peluang berkongsi karya dengan aktres yang cukup popular dengan jolokan puntianak jelita tersebut.

Ujar Juzzthin, kolaborasinya bersama Maya Karin bukan sahaja unik, malah memberi nuansa tersendiri menerusi gabungan muzik hip-hop dan pop.

“Seperti semua sedia maklum, Maya seorang penyanyi pop dan saya pula bermula dengan genre hip-hop.

“Bagi saya, gabungan ini merupakan sebuah percubaan sempurna dan seimbang,” jelasnya yang tidak menganggap kerjasama dengan Maya sebagai tiket segera memburu populariti.

Lakonan

Biarpun muzik menjadi keutamaannya, namun jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu tetap aktif dalam bidang lakonan.

Namun, sepanjang mencuba nasib sebagai pelakon, penghibur berusia 26 tahun itu sering diberi tanggungjawab untuk memegang peranan sebagai pelajar sekolah.

Bermula sebagai pelakon dalam siri mini kanak-kanak, Waktu Rehat yang pernah disiarkan di saluran Disney sekitar enam tahun lalu, Juzzthin sekali lagi menggalas watak pelajar sekolah bernama Zack dalam siri popular Oh My English!.

Biarpun mengimpikan ruang yang lebih besar, Juzzthin menyedari kedudukannya sebagai pendatang baharu.

“Jika produser melihat kemampuan saya melakonkan watak pelajar sekolah dengan baik, saya tidak pernah berkecil hati.

“Asalkan, saya dapat mengembangkan kerjaya dalam bidang lakonan, saya tetap akan terima,” tutupnya.

Previous Post Next Post