Khai guna Rosma jadi testimoni kurus


KHAI dan Rosma serta beberapa artis popular lain akan terlibat sama dalam Mega Bazaar 2016 yang akan berlangsung esok dan 14 Februari ini di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

WALAUPUN kelibat mereka dalam industri seni tidak lagi sekerap dulu, pasangan ideal, Khai dan Rosma mengambil pendekatan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan bagi menampung kehidupan.

Menjalankan perniagaan produk kurus secara online, Magic Slims sejak enam bulan lalu, Khai atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Mohamad, 37, bersyukur kerana diberi rezeki luas dalam bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, walaupun Magic Slims hanya dijual secara online, ia kini sudah boleh didapati di beberapa negara luar seperti Brunei, Singapura dan Kemboja.

“Sementara itu, stokis-stokis Magic Slims sudah dibuka di beberapa buah negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Kuantan dan Negeri Sembilan,” kongsinya ketika ditemui pada sidang akhbar Mega Bazaar 2016 di Restoran Hadramawt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara pengisian menarik di Mega Bazaar 2016 adalah terdapat sebanyak 158 gerai produk online daripada usahawan baharu dan jenama terkemuka dibuka. Selain itu, banyak aktiviti dan persembahan artis serta perkongsian hijrah daripada selebriti tempatan yang turut menyaksikan Khai dan Rosma terlibat sama.

Berbalik soal produk kurus yang turut akan dijual pada acara tersebut, Khai menjadikan Rosma sebagai testimonial dan berjaya membuktikan kepada umum keberkesanan produknya itu.

“Setakat ini, maklum balas pengguna terhadap produk ini sangat memberangsangkan terutama apabila Rosma sendiri berjaya menurunkan berat badan dengan berkesan sekali.

“Rosma berjaya menurunkan berat badan sebanyak 9.7 kilogram dalam masa dua bulan. Dia berjaya mengurangkan berat badan daripada 56.7 kilogram kepada 47 kilogram,” katanya.

Sementara itu, bercakap soal perkembangan seni, Rosma atau nama lengkapnya, Rosmayati Sidik, 34, menyatakan dia, dan suaminya masih lagi aktif menyanyi, cuma tidak seperti dulu.

“Ya, keadaan dunia seni sekarang sukar untuk kami bernafas seperti dulu kerana banyak bakat-bakat baharu yang menyerlah. Lagipun, kami sudah berkeluarga dan itu yang menjadi keutamaan saya dan Khai buat masa sekarang,” ujar Rosma tanpa berselindung.



MENGAKUI rezeki dalam bidang hiburan tidak lagi seperti dahulu, Khai dan Rosma memberi fokus kepada bidang perniagaan.

Rahsia bahagia

Ditebak pertanyaan mengenai banyak kes penceraian dalam kalangan pasangan selebriti tempatan sejak akhir-akhir ini, Khai dan Rosma tidak berani memberikan komen lanjut kerana mahligai bahagia yang terbina antara mereka berdua juga masih lagi baharu.

“Saya rasa tidak layak untuk mengulas tentang isu tersebut. Bagaimanapun, dalam perkahwinan perlu ada toleransi dan persefahaman yang tinggi. Itu yang membuatkan perkahwinan kami masih ‘bernyawa’ selama lapan tahun.

“Saya juga selalu mengingatkan Rosma untuk selalu bersikap jujur dan amanah untuk mengelakkan salah faham yang tidak sewajarnya berlaku dalam rumah tangga,” ulas Khai.

Selain itu, Rosma juga berpendapat, komunikasi adalah senjata yang paling ampuh dalam perhubungan suami isteri.

“Dahulu masa mula-mula kahwin, kalau ada masalah timbul, kami akan meluahkan melalui ‘tulisan’ di WhatsApp. Semakin lama hidup bersama, kami lebih mengerti betapa pentingnya komunikasi dua hala.

“Selain itu, setiap bulan menjadi kewajipan buat kami untuk mengadakan ‘mesyuarat’ bersama untuk membincangkan hal-hal sepatutnya,” kata Rosma.

Previous Post Next Post