Langkah berani Haikal Zarrin


Haikal percaya walaupun terdapat banyak persaingan, dia mampu mencuri sedikit perhatian sebagai pendatang baharu.

NAMA Haikal Zarrin hampir tidak pernah diperkatakan apatah lagi menjadi bualan dalam kalangan peminat serta pengikut muzik tegar tempatan.

Namun, bagi Haikal Zarrin atau nama sebenarnya, Haikal Zarrin Mohammad Kamal, 26, bidang muzik dan penghasilan lagu akan terus menjadi keutamaannya.

Mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Kejuruteraan Audio di Universiti Limkokwing, Cyberjaya, dia mengaku amat meminati bidang nyanyian sejak berusia 11 tahun lagi. Melihat minatnya terhadap bidang muzik, ayahnya mula mengajarnya bermain gitar sekitar usia 13 tahun. Pada umur 17 tahun, Haikal mula mengambil serius tentang bidang muzik.

Pernah menghasilkan sebuah single berjudul Menunggumu sekitar Ogos tahun lalu, penyanyi dan pencipta lagu di bawah naungan label Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. itu tampil dengan single keduanya pada awal Januari tahun ini dengan mempertaruhkan lagu berjudul Selamat Pagi yang baru sahaja dikeluarkan dan sering diputarkan di corong-corong radio tempatan.

“Seperti single pertama saya bertajuk Menunggumu yang berkonsepkan balada, ia mengisahkan tentang diri saya menunggu seorang wanita yang dicintai namun akhirnya tetap juga ditinggalkan. Kisah cinta dalam lagu ini boleh diibaratkan bertepuk sebelah tangan.

“Sebelum ini, saya pernah menubuhkan sebuah band bergelar Sevenmiles selepas tamat tingkatan lima dan membuat persembahan dalam gig-gig underground sekitar tahun 2009. Ketika itu, saya lebih serius dalam bidang rakaman dan mencipta lagu sahaja. Namun, pada tahun 2014, saya membuat keputusan untuk menjadi artis solo,” ujar Haikal.



HAIKAL mempertaruhkan single baharunya berjudul Selamat Pagi.

Yakin

Enggan meletakkan persaingan sebagai halangan terbesar, dia yakin kelebihan dan kekuatan bakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu mampu menjadikan dirinya sebaris dengan nama besar yang lain.

“Memang tidak dinafikan, penyanyi berbakat kini semakin ramai.

“Bagaimanapun, itu bukan halangan untuk saya menonjolkan diri. Berbekalkan bakat dan kelebihan yang ada, saya yakin mampu bersaing dan pergi lebih jauh,” kata anak kelahiran Kajang, Selangor ini.

Namun, kata Haikal dia sedar bahawa namanya memang masih asing dalam kalangan penggiat seni tempatan. Justeru, apa yang perlu diperkemaskannya adalah mengatur langkah menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.

“Saya juga mencipta beberapa buah lagu untuk dinyanyikan oleh penyanyi yang bernaung di bawah label Hazac Records milik saya iaitu Boby, Sagittarius Band, Yassir Syafiee dan Ross Hassan.

“Selain itu, saya juga sedang menghasilkan lagu tema untuk filem berunsur seram, Belorong lakonan Maya Karin dan Randy Pangalila yang bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi,” tuturnya.

Ditanya siapa idolanya dalam lapangan seni, Haikal menjadikan Azlan & The Typewriter sebagai pemangkin buat dia tidak berputus ada dalam mencapai impian.

Malah, tanpa berselindung kata Haikal: “Kalau boleh saya mahu adakan kerjasama dengan Azlan. Saya mengagumi bakat hebatnya.”

Previous Post Next Post