Maya Matahari kini ceburi perniagaan


PENYANYI serta pelakon, Meyanaliza Ruslee atau lebih mesra disapa sebagai Maya Matahari, kini membuka lembaran baharu selepas 22 tahun berkecimpung dalam dunia seni dengan menceburi bidang perniagaan.

Bermula tahun lepas, Maya, 40, mengorak langkah dalam dunia perniagaan produk minuman kesihatan dan barangan kecantikan setelah memikirkan dunia perniagaan lebih menjamin masa depan.

"Suatu hari nanti, mungkin saya sudah penat dengan dunia seni dan selepas itu saya akan memberi fokus kepada perniagaan ini kerana saya berpeluang berkongsi dengan orang ramai tentang aspek penjagaan diri dan kecantikan," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Maya kini sedang mempromosikan produk kecantikan yang diusahakan bersama-sama Saida Tarudin yang juga kakak kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza.


"Kami juga akan mempromosikan produk ini pada Fiesta Sihat Cantik Berjaya mulai 29 Mac hingga 1 April di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) menerusi syarikat kami iaitu SM Empire Global", katanya.

Selain menjadi rakan niaga, Maya bersama Saida turut berduet dalam lagu single terbaru mereka berjudul 'Setia' yang akan dilancarkan Mac ini.

Lagu dan liriknya diciptakan oleh komposer Adi (vokalis kumpulan Sixth Sense).

"Lagu ini berbeza dari album saya sebelum ini kerana kalau dulu saya sinonim dengan lagu rancak 'Matahari', kali ini saya keluarkan single berkonsep balada.

"Konsep ini memaparkan kematangan saya yang seiring dengan usia saya kini," katanya.

Maya popular sekitar tahun 90-an dengan lagu hitsnya Diari Biru dan Matahari dan pernah mengeluarkan tiga album iaitu Satu Jam Lagi (1995), Sinar Cinta (1998) dan Mata Maya (2010).

Previous Post Next Post