Munafik bukti kematangan Syamsul Yusof


Tegar mengisi kehidupannya dengan kamera dan cahaya, siapa sangka sedar tidak sedar usia pengarahan Syamsul Yusof sudah melewati tujuh tahun sejak dia mula mengarah filem pada tahun 2008 menerusi filem Evolusi KL Drift.

Namun, jika dilihat daripada aspek karya dan pencapaian yang diraih menerusi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan FFM24 untuk dua tahun berturut-turut, perkara itu jelas jauh menolak usianya yang baru 31 tahun pada 21 Mei nanti. Hakikatnya, pengalaman mengajar Syamsul menjadi lebih matang. Mengenali asam garam dan sepak terajang dunia perfileman.

“Penonton akan tengok kemampuan seseorang pengarah itu bukan pada luaran sahaja tetapi kematangan mereka dalam mengarah. Penonton sekarang sudah bijak untuk menilai tahap kematangan seseorang pengarah itu melalui karya yang dihasilkannya. Sayapun sudah lama dalam industri perfileman. Munafik merupakan filem kesembilan saya. Saya juga sedar penonton mahu melihat kematangan saya dalam mengarah sesuatu karya itu. Dari situ saya kena buktikan,” ujarnya yang bakal muncul menerusi filem terbaharu yang berjudul Munafik pada 25 Februari nanti.

Selepas kejayaan filem seram pertama arahannya iaitu Khurafat (2010), kongsi Syamsul, dia selalu terfikir untuk menghasilkan filem yang mempunyai elemen keagamaan yang tinggi. Maka pada Syamsul, filem seram adalah genre yang tepat untuk diangkatnya.



“Dengan filem Munafik saya dapat realisasikannya. Idea menghasilkan filem tersebut mula tercetus bila saya hadir pada majlis ilmu dan mendengar ustaz bercerita tentang munafik. Topik itu (munafik) benar-benar menggerunkan saya dan saya rasa benda ini perlu diberitahu ke layar lebar,” luahnya.

Bagaimanapun anak kepada penerbit terkenal iaitu Datuk Yusof Haslam itu sedar filem yang diangkatnya kali ini agak berat dan barangkali penonton lebih menyukai karya yang ringan.

“Ya, saya tidak nafikan mungkin penonton lebih suka menonton filem seram yang ringan. Sebab itu, saya kena gunakan kreativiti untuk menyampaikan Munafik yang disukai penonton.

“Insya-Allah filem seram ini akan dikenang penonton. Sebelum saya menghasilkan Munafik, saya ada buat kajian mengenai filem seram yang disifatkan berjaya dikenang sehingga hari ini. Pada saya salah satu daripadanya adalah Nang Nak. Filem itu berjaya bukan disebabkan elemen seram semata-mata tetapi jalan ceritanya yang baik dan menyentuh perasaan. Perkara serupa saya terapkan untuk filem Munafik,” jelasnya mengenai filem yang turut dibintangi oleh Nabila Huda, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan juga Sabrina Ali.

Munafik mengisahkan tentang ustaz Adam (lakonan Syamsul) yang berjumpa dengan Maria (lakonan Nabila Huda) untuk mengubati wanita itu. Maria selalu terkena gangguan jin dan syaitan sehingga dia menghidap penyakit mental. Saat Adam berjumpa dengan Maria, 1,001 persoalan mula timbul.

Previous Post Next Post