Nabila Huda Kejar Kebahagian Hidup


Nabila Huda mengakui kini melalui fasa bahagia.

Pelakon Nabila Huda mengakui mula merasai nikmat perkahwinan selepas bernikah dengan Mohd Izwan Johar pada 25 Disember tahun lalu.

Nabila, 32, berkata, dia kini lebih banyak memberi fokus kepada rumah tangga kerana ingin menjalani kehidupan seperti pasangan lain selain menghadkan aktiviti seninya.

"Sebelum ini saya tidak terlalu berfikir tentang soal lain dan tumpuan memang kepada kerjaya sebagai pelakon tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini saya sangat selektif dalam tawaran diberikan.

"Bukan kerana apa tetapi saya mula menjalani kehidupan baharu dan lebih fokus kepada diri sendiri. Sekarang pula sudah berkahwin jadi saya mahu benar-benar memberi perhatian kepada keluarga.

"Alhamdulillah saya mula merasai nikmat berumah tangga dan seolah-olah ini adalah kali pertama saya berkahwin," katanya.



Nabila dan suaminya, Mohd Izwan.

Bagiamanapun kata Nabila, dia tidak pernah menyesal dengan kegagalan perkahwinannya sebelum ini kerana ia banyak memberi pengajaran dalam menjadikan dia seorang wanita, isteri dan ibu yang lebih baik.

Hasil perkahwinan pertama tersebut, Nabila dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lima tahun.

Dalam pada itu, Nabila berkata, dia kini lebih banyak menghabiskan masa dirumah sekiranya tidak mempunyai sebarang aktiviti seni.

Namun kata Nabila, itu tidak bererti dia akan meninggalkan bidang lakonan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada karya berkualiti dan watak yang belum pernah dilakukannya.

"Sudah banyak perkara saya lakukan sebelum ini dan kini adalah masa untuk saya mengubah rutin dan lebih fokus kepada keluarga.

"Saya memang jenis suka duduk dirumah jika tiada aktiviti dan kesempatan ini juga saya guna untuk memasak dan aktiviti lain bersama suami dan anak," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nabila muncul dengan filem terbaharu arahan Syamsul Yusof berjudul Munafik dan ia sudah pun berada di pawagam sejak 25 Februari lalu.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »