Nabila Huda kini lebih bahagia


JIKA di selak lembaran diari seni wanita berusia 31 tahun ini, pasti dapat melihat pelbagai ceritera kehidupan yang berlaku sejak awal penglibatannya di dalam bidang seni.

Masakan tidak, di sebalik keberkesanan lakonan yang dipersembahkan, pasti ada tercalit kisah kontroversi yang mengekori anak kepada vokalis terkenal, Amy Search ini.

Namun bagi aktres Nabila Huda, apa yang berlaku lalu biarlah terlipat dan tersimpan kemas sebagai sejarah.

Mengakui sudah mengubah cara dan rutin hidupnya sejak dua tahun lalu, Nabila yang mesra di sapa dengan panggilan Abil mengakui lebih menikmati saat bahagia dalam hidupnya.

Tambahan pula setelah kembali bergelar isteri kira-kita dua bulan lalu, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

"Berbelas-belas tahun saya kehilangan nikmat kehidupan seperti orang lain yang mempunyai masa bersama keluarga, dapat makan bersama-sama. Selama ini saya sangat sibuk dengan kerja atau di set penggambaran. Sehinggakan hendak menjejakkan kaki ke pusat membeli belah pun tiada masa melainkan atas urusan kerja.

"Tetapi sejak dua tahun lepas, saya mula sedar dan mengubah gaya hidup. Saya sudah kurangkan kerja dan merancang setiap apa yang mahu dilakukan.

"Sudah tiba masanya saya banyak menghabiskan masa bersama-sama keluarga, dapat buat apa yang saya suka seperti melancong.

"Jika tidak bekerja, saya lebih suka duduk di rumah. Saya jarang ke acara-acara hiburan kecuali ia melibatkan saya atau mendapat undangan daripada teman-teman rapat," katanya ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem Munafik, baru-baru ini.


Berkongsi kehidupannya setelah bergelar isteri kepada Mohd Izwan Johar, Nabila berkata, secara sejujurnya, dia menganggap perkahwinan kedua ini seperti perkahwinan kali pertama.

Menyifatkan dia kini lebih matang dalam melayari bahtera rumah tangga, bagaimanapun dia menganggap apa yang pernah berlaku sebelum ini sebagai pengajaran buatnya.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak pernah menyesal dengan perkahwinan pertama kerana menerusi perkahwinan pertama, saya dikurniakan Keisha Laila.

"Tetapi saya anggap perkahwinan kali ini sebagai perkahwinan kali pertama dalam hidup saya. Perkahwinan sebelum ini berlaku ketika usia saya masih muda.

"Saya tidak dapat menikmati sepenuhnya keadaan yang sebenar berumah tangga. Tetapi saya bersyukur dikurniakan cahaya mata yang sangat comel dan buat saya sedar juga banyak mengajar saya dalam menghadapi dan melalui pelbagai liku-liku kehidupan,” jelasnya.

Cabar diri watak berat

Dalam pada itu, berkongsi pengalamannya terlibat dalam filem terbaharu lakonannya, Munafik, Nabila mengakui, filem terbaharu arahan Syamsul Yusof itu merupakan watak dalam filem paling berat yang pernah dijayakan.

Biarpun beberapa kali timbul salah faham di lokasi ketika menjayakan watak Maria, namun kini dia berasa puas hati dan berbaloi.

"Tidak dinafikan saya jarang terlibat dalam filem seram dan saya kira karakter saya kali ini memang berat, penat dan susah untuk melakonkannya terutama babak histeria.

"Saya juga ada melakukan beberapa 'stunt' sendiri. Saya hanya mengikut dan cuba memenuhi kehendak Syamsul. Dia akan terangkan apa yang dia mahu kemudian saya akan buat mengikut keselesaan dengan kreativiti sendiri.

"Malah saya juga mencabar diri untuk duduk dalam peti mayat yang sebenar, di mana di bawahnya ada mayat lain. Untuk pengetahuan, peti mayat itu merupakan yang kali ketiga saya masuk.

"Tapi kali ini pengalamannya memang berbeza tapi saya cuba sedaya upaya berikan lakonan yang terbaik. Syukur secara peribadi, sepanjang penggambaran filem ini saya tidak mengalami apa-apa pengalaman pelik.

"Saya gembira apabila pengarah gembira dan berpuas hati dengan lakonan saya. Sebenarnya apabila menonton semula filem ini, saya pun tak percaya yang saya boleh berikan lakonan yang sebegitu,” katanya.

Selain Nabila, antara pelakon lain yang terlibat dalam filem yang bakal ditayangkan 25 Februari ini adalah Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali, Fizz Fairuz dan Syamsul.

Selain, Nabila juga sedang menjalani penggambaran telefilem arahan sulung Sharnaaz Ahmad berjudul Lukisan Cinta.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »