Nusyuz: Zahnita tolak tuntutan suami


MODEL terkenal, Zahnita Wilson menolak tuntutan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Ab Ghapor untuk mengishtiharkan dirinya sebagai nusyuz.

Peguamnya, Suriany Awaludin berkata, pihaknya akan memfailkan pembelaan pada 11 Februari depan.

"Anak guam saya tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut," katanya pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.

Di luar mahkamah, Suriany yang menemani Zahnita berkata, antara alasan yang dikemukan oleh Abdul Zackery dalam tuntutan tersebut adalah anak guamnya keluar rumah tanpa keizinannya dan tidak mendengar nasihat.

Abdul Zackery, 38, memfailkan tuntutan kembali taat (nusyuz) pada 14 Januari lalu mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sementara itu, di mahkamah sama, Zahnita dan suaminya masing- masing mengemukakan wakil jawatankuasa pendamai (JKP) bagi mencari jalan penyelesaian terhadap rumah tangga mereka.


Zahnita diwakili abangnya, Mohd Julian Hussein Wilson manakala ahli perniagaan itu diwakili adiknya, Shreen.

Hakim Syrie, Muhamad Hisyam Zakaria menetapkan 28 April ini untuk laporan jawatankuasa pendamai dan nusyuz.

Di Mahkamah Tinggi, pasangan tersebut diperintah memfailkan hujahan berhubung tuntutan hak penjagaan sementara yang dituntut oleh Zahnita.

Peguam defendan, Yusfa Hanis Yusoff berkata, pihaknya sudah memfailkan afidavit jawapan pada 21 Januari lalu manakala semalam pihak plaintif memfailkan afidavit balasan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

Zahnita dan Abdul Zackery mendirikan rumahtangga pada 3 Jun 2005 di Masjid Bandar Sri Damansara.

Rumahtangga yang dibina 11 tahun itu diserikan dengan dua cahaya mata Zahrafeena, 9, dan Zasharayna, 3.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »