Pengiktirafan kedua kerajaan Perancis buat Michelle Yeoh


KEHEBATAN dan sumbangan Michelle Yeoh terus diiktiraf apabila dianugerahkan Officier des Arts et des Lettres daripada kerajaan Perancis, baru-baru ini.

Bintang terkenal, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta rekod luar biasa untuk anak seni yang berasal dari Malaysia. Sejak memenangi pertandingan Ratu Cantik Malaysia pada 1983, Michelle tidak lagi menoleh ke belakang. Tangga demi tangga didakinya dan kini, namanya cukup gah bukan sahaja di Asia, tetapi peringkat dunia termasuk Hollywood.

Terbaharu, anak kelahiran Ipoh, Perak itu sekali lagi mengharumkan nama negara apabila beliau menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih untuk menerima anugerah Officier des Arts et des Lettres daripada kerajaan Perancis pada 12 Februari lalu.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duta Perancis ke Malaysia, Christophe Penot di pejabat kedutaan negara itu di Kuala Lumpur. Menurut Penot, Michelle dipilih oleh Kementerian Kebudayaan Perancis kerana bakat seni serta sumbangannya terhadap industri perfileman negara yang popular dengan Menara Eifel itu.

“Michelle pernah bekerja dengan beberapa pengarah dan pelakon Perancis. Secara tidak langsung telah mempromosikan jenama terbaik Perancis. Atas alasan itu, kerajaan Perancis menghargai kejayaannya sebagai pelakon,” katanya.

Menariknya, ini merupakan kali kedua beliau menerima anugerah daripada kerajaan Perancis. Pada 2012, Michelle telah menerima anugerah tertinggi awam Perancis, Knight of the Legion of Honour daripada Duta Perancis ke Malaysia ketika itu, Alain du Boispean.



FOTO terbaharu Michelle Yeoh (kiri) bersama tunangnya yang juga Duta Khas PBB untuk Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt (kanan). Mereka ditemui selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya oleh Yayasan Prudence dan Federation Internationale Del’Automobile di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beralih kepada kerjayanya, Michelle yang terkenal dengan filem Tomorrow Never Dies (1997); Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000); Memoirs of a Geisha (2005) serta The Lady (2011) itu akan kembali mengubati rindu peminat yang ingin menyaksikan aksi seni mempertahankan dirinya.

Selepas 15 tahun menanti, beliau sekali lagi memegang watak sebagai Yu Shu Lien dalam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon: Sword of Destiny yang merupakan sekuel kepada filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Naskhah tersebut telah memenangi 40 anugerah di seluruh dunia termasuk Filem Bahasa Asing Terbaik dalam Academy Awards 2001.

Filem arahan Ang Lee itu menjadi fenomena seluruh dunia apabila berjaya meraih keuntungan sebanyak RM886 juta (AS$213.5 juta). Dalam filem pertama, selain Michelle ia turut dibintangi oleh Chow Yun Fat, Zhang Ziyi dan Chang Chen.

Justeru, Crouching Tiger, Hidden Dragon: Sword of Destiny yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan mula ditayangkan di pawagam serta streaming di Netflix pada 26 Februari ini bukan sahaja dinantikan oleh peminat, tetapi juga Michelle sendiri yang menyifatkan karya terbaharu itu cukup indah.

“Sebenarnya, kami semua (barisan pelakon) telah lama menunggu filem ini. Semua orang tahu filem pertama, Crouching Tiger, Hidden Dragon digarap dengan begitu cantik bukan sekadar pertunjukan seni mempertahankan diri semata-mata.


SALAH satu sedutan daripada filem terbaharu Michelle, Crouching Tiger, Hidden Dragon: Sword of Destiny.

“Filem kedua juga mempunyai elemen yang sama, tetapi diperkemaskan lagi,” katanya pada sidang media pelancaran filem terbaharu itu di Beijing, China pada Disember lalu.

Sementara itu menyentuh tentang kisah peribadinya, Michelle yang telah bertunang dengan bekas Ketua Pengarah Operasi Ferrari, Datuk Seri Jean Todt, 70, sejak tahun 2005 dikhabarkan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Meskipun begitu sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tarikh khusus yang diumumkan oleh beliau dan pasangannya.

Sedar spekulasi perkahwinannya hangat diperkatakan, Michelle saat disoal tentang tarikh perkahwinan hanya melemparkan senyuman dan memberi jawapan ringkas.

“Saya agak lapang pada Mac depan,” ujarnya pada majlis sama.

Bagaimanapun, aktres tersebut berjanji untuk berkongsi berita gembira berkenaan selepas tarikh perkahwinan ditetapkan.

Previous Post Next Post