Rabbani terus bertahan


JIKA diimbas, kumpulan nasyid terunggul, Rabbani ditubuhkan bertujuan untuk mendidik jiwa manusia menerusi alunan lagu nasyid dan ketuhanan, sejak 19 tahun lalu.

Rabbani bermaksud yang arif dan soleh, secara umumnya mengajak diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk berilmu serta beramal soleh.

Lantaran itu, Rabbani yang sudah menerbitkan beberapa album berjaya mencatat sejarah manis apabila album mereka diangkat sebagai Album Of The Year sekali gus menang kategori Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album dan Lagu Nasyid Terbaik pada 2001.

Meskipun pemergian ketua kumpulan dan vokalis utamanya, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim ke Rahmatullah pada 13 Ogos 2009 mengejutkan semua peminat nasyid, namun kumpulan itu terus bertahan sehingga ke hari ini.

Menurut Azadan Abdul Aziz, ketika hayat Allahyarham Ustaz Asri masih ada, arwah sentiasa berpesan agar jangan berpecah-belah dan teruskan perjuangan berdakwah melalui kesenian Islam.

“Alhamdulillah, hubungan kami semua terus kukuh sampai ke hari ini. Namun, adat manusia tidak semuanya dalam hubungan persahabatan itu manis belaka.

“Tapi, jika ada isu berbangkit, kami akan segera menyelesaikannya. Lagipun kami umpama adik-beradik. Daripada ada 13 anggota, Rabbani kini tinggal lapan saja.

“Insya-ALLAH, dengan bakat dan pengalaman yang ada, kami terus teguh mengharungi cabaran dalam industri nasyid tanah air,” katanya yang mewakili anggota lain.

Walaupun hilang pucuk pimpinan, Rabbani terus bergiat aktif dalam memartabatkan irama nasyid dengan menganjurkan beberapa aktiviti bersama peminat seperti mengadakan pakej percutian dan umrah sejak 15 tahun lalu.

“Kami bersyukur kerana pemergian Allahyarham Ustaz Asri tidak mematahkan semangat kami. Ini semua hasil berkat sokongan keluarga, sahabat dan peminat.

“Terbaharu, kami bekerjasama dengan Muhibbin Holiday Sdn Bhd, menganjurkan pakej umrah sekali gus memperkenalkan konsep umrah bersama keluarga iaitu UmrahKu Bersama Keluargaku,” katanya.

Jelasnya, Muhibbin Holiday Sdn Bhd adalah milik Ustaz Ghazali Ibrahim yang juga adik kepada Allahyarham Ustaz Asri.

“Sudah lama, kami mengenali dia. Malah, hubungan kami juga sangat erat cuma kebelakangan ini disebabkan jadual seni yang padat, kami jarang berjumpa dengannya.

“Oleh itu, apabila dia mempelawa kami untuk bersama-sama mengerjakan umrah dengan syarikatnya, ia peluang terbaik untuk kembali mengeratkan hubungan itu.

“Seperti mana kami menganggap Allahyarham Ustaz Asri seperti abang kandung, begitulah juga penghormatan kami terhadapnya.

“Nasihat mereka sentiasa menjadi panduan kepada kami. Bahkan, wajah Ustaz Ghazali juga saling tak tumpah mirip abangnya membuatkan kenangan bersama Allahyarham Ustaz Asri terus hidup segar dalam hati kami,” katanya.


Umrahku Keluargaku

Dalam pada itu, prihatin dengan nasib ibu bapa yang uzur ketika mengerjakan umrah secara bersendirian menyebabkan Ustaz Ghazali memperkenalkan konsep sedemikian.

“Adalah lebih baik jika anak-anak turut serta kerana mereka boleh membantu ibu-bapa tanpa mengharapkan jemaah lain. Jika ada yang ingin pergi bersama keluarga, agensi saya boleh berunding mengenai harga.

“Kemudahan yang ditawarkan tetap sama kerana apa yang penting adalah keselesaan untuk beribadah selain merapatkan hubungan kekeluargaan yang menjadi satu terapi.

“Saya pernah bawa 22 sekeluarga mengerjakan umrah dan Alhamdulillah sepanjang berada di sana hubungan mereka terjalin erat dan saling mengambil berat. Konsep umrah keluarga ini bertujuan untuk menunjukkan keseronokan mengerjakan ibadah bersama ahli keluarga,” katanya.

Tambahnya lagi, jika pergi dalam jumlah ramai, Muhibbin Holiday akan menyusun tarikh berangkat ke Tanah Suci mengikut kesesuaian masa dan permintaan jemaah.

“Pakej yang disediakan mengikut keselesaan rombongan keluarga,” katanya.

Sambil itu, jelas Ustaz Ghazali, ketika melawat tempat bersejarah dan tinggalan Rasulullah SAW serta sahabat di Mekah dan Madinah, ibu bapa juga boleh bercerita dengan anak-anak kisah yang berlaku di sana seperti di Makam Baqi, Jabal Rahmah, Jabal Tsur, Muzium Kaabah, Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan Padang Arafah.

“Jika sebelum ini mereka hanya melihat saya dan mendengar ceramah saya di kaca TV, kini mereka menyertai pakej umrah dengan Muhibbin Holiday dapat lebih lama bersama-sama saya sambil bersoal jawab menyelesaikan kemusykilan yang ada,” katanya.

Kepada yang ingin menyertainya, rombongan itu akan bertolak pada 8 Mac depan selama 12 hari 10 malam. Untuk maklumat lanjut, boleh layari facebook Muhibbin Holiday.

Previous Post Next Post