Rantaian rezeki Shukri Yahaya


Shukri dan Tya bernikah pada November tahun lalu dan kini menerima berita gembira dengan kehamilan Tya.

Sabda Rasulullah S.A.W, apabila seorang manusia itu bernikah maka terbukalah tambahan tiga pintu rezeki untuknya seiring dengan tanggungjawab pada isteri.

Bagi pelakon Shukri Yahaya, kesibukan bekerja yang masih belum berjumpa butang rehat dalam tempoh dua tahun ini dianggap sebagai rezeki yang dikirim bersama bidadari hati, Tya Adnan.

Malah sekarang, pasangan dua sejoli ini baru sahaja menerima satu lagi berita gembira apabila Tya disahkan berbadan dua dan bakal menerima cahaya mata dalam tempoh tujuh bulan lagi.


Artis Meletop!: Boleh kongsikan bagaimana anda mendapat berita kehamilan Tya?

SHUKRI: Sebenarnya saya pada masa itu berada di lokasi penggambaran dan Tya telah menghantar satu video yang dirakam olehnya pada telefon bimbit saya. Dalam video itu, terdapat alat ujian kehamilan yang menunjukkan tanda positif. Saya terkedu dan terus menelefon isteri sambil menangis gembira.

Adakah kehamilan ini dirancang oleh anda berdua?

Tidak, sejak berkahwin kami hanya menerima sahaja apa yang telah ditakdirkan. Namun Alhamdulillah kerana peluang kami menimang cahaya mata dipermudahkan dan saya tidak sabar untuk menjadi seorang bapa.

Tidakkah anda berasa transisi daripada bujang, suami orang dan kini bapa berjalan dengan cukup pantas?

Sama sekali tidak kerana saya anggap ianya rezeki. Saya sudah bersedia menjadi bapa kerana ini semua ketentuan Allah.

Setakat ini, bagaimana keadaan Tya dalam fasa trimester pertama?

Pada awal kehamilan dia mengalami muntah-muntah tetapi sejak kandungan memasuki usia dua bulan lebih, keadaannya sudah lebih baik. Bercakap soal mengidam pula, ada sekali dia mahu makan pengat pisang, jadi tiada masalah untuk tunaikannya.

Sejak sebelum berkahwin, jadual kerja anda sentiasa penuh dan difahamkan, anda belum sempat berbulan madu. Memandangkan Tya kini hamil, adakah anda tidak bercadang mahu luangkan lebih masa dengannya?

Benar, saya memang sibuk dan belum sempat membawa isteri berbulan madu. Tetapi saya bersyukur kerana Tya sangat memahami dan tahu, semua tawaran yang saya ambil demi menyara keluarga. Tentang masa, saya cuba habiskan masa sebanyak mungkin dengannya. Lagipun isteri tidak keluar bekerja seperti orang lain, dia menjalankan perniagaan secara atas talian maka dia sentiasa di rumah. Itu mengurangkan kerisauan saya.

Tentang kolaborasi anda dalam jenama pakaian Furby And Sugar, adakah ianya salah satu langkah untuk menceburi bidang lain selain lakonan?

Idea untuk berkolaborasi ini sudah lama timbul iaitu sejak tahun lepas lagi namun kerana saya sibuk dengan penggambaran dan persiapan pernikahan. Kolaborasi ini lebih kepada eksperimentasi iaitu saya menyumbang idea kepada pereka Furby And Sugar, Januar Haikal dan dia cuba menzahirkan di dalam fesyen ciptaannya. Jika koleksi ini mendapat sambutan, mungkin saya akan terlibat dengan lebih serius dalam bidang ini.

Perkembangan terkini dalam lakonan anda?

Sekarang saya sedang menjalani penggambaran untuk drama bersiri Hantu Punya Bos terbitan MIG Productions bagi slot Iris. Ini adalah satu cabaran buat saya kerana semua pelakon yang terlibat adalah bakat baharu maka fokus utamnya akan lebih tertumpu kepada saya.

Previous Post Next Post