Rasa Hormat Buat Nico G Sukar Tolak Persembahan Kecil


Nico G akan teruskan perjuangan walaupun dibenci.

Trio hip-hop terkenal pada tahun 1990-an iaitu Nico G mengakui sukar untuk menolak persembahan-persembahan kecil terutamanya melibatkan pihak sekolah dan rukun tetangga.

Salah seorang anggotanya, Affa, 40, berkata, biarpun persembahan tersebut tidak mendapat liputan media, namun mereka gembira memenuhi permintaan peminat-peminat yang masih menerima mereka dalam industri.

"Setahun selepas kembali semula dalam industri kami hanya muncul di persembahan-persembahan kecil sahaja, bagi kami setiap tawaran walaupunhanya daripada rukun tetangga atau sekolah ia tetap perlu dihormati.

"Pada kami bukan skala persembahan atau bayaran yang menjadi keutamaan, tetapi tidak mahu menghampakan pihak-pihak yang menganggap kami sebagai artis lagenda," ujarnya kepada mStar Online.

Nico G berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran filem Showdown The Movie baru-baru ini yang menjadikan lagu mereka berjudul Inilah Nasibku sebagai lagu tema filem berkenaan.

Kumpulan yang pernah terkenal dengan lagu seperti Inilah Nasibku, Kaulah Gadisku, Rindu dan Untukmu Sayang itu turut dianggotai oleh oleh Dino dan Nico.


Tambah Affa, tawaran persembahan kecil itu sebagai salah satu cara mereka untuk menghargai peminat-peminat generasi baharu yang masih mengenali kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, bercakap tentang pendapat masyarakat yang menganggap kumpulan itu sudah tidak relevan, Affa berkata, dia menerima apa sahaja pandangan terhadap mereka.

Katanya, mereka tetap meneruskan genre hip-hop biarpun dibenci oleh masyarakat.

"Kami sedar ada yang menganggap usia kami sudah tidak sesuai lagi untuk menyanyi genre ini, apa yang boleh saya katakan hip-hop sudah menjadi darah daging.

"Kami tidak akan berhenti memperjuangan genre ini biarpun dibenci masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang lagu tema filem Showdown The Movie, Affa berkata, ia merupakan peluang keemasan bagi mereka untuk kembali semula dalam industri seni.

Biarpun, pernah membuat kemunculan semula menerusi single Belia Perwira tahun 2014, namun ia gagal mendapat sambutan berikutan beberapa insiden yang menimpa negara.

"Single Belia Perwira yang dilancarkan pada 2014 terpaksa berhadapan dengan beberapa insiden yang menjejaskan rangka promosinya.

"Jadi kami ambil peluang filem ini untuk percubaan kedua kembali semula dalam industri," ujarnya.

Filem Showdown The Movie bakal membariskan pelakon seperti Reza Hasbi, Izara Aishah, Iedil Putra, Azad Jazmin, Ammar Alfian, Maria Farida, Esma Daniel dan Jehan Shukri.

Filem arahan Khairil M.Bahar ini bakal ditayangkan pada 7 April depan di sleuruh pawagam tanah air.

Previous Post Next Post