Rozita Rohaizad Terkilan Tidak Diberi Peluang Nyanyikan Lagu Mariani


Rozita Rohaizad rasa diri dipinggir dan tidak diberi peluang untuk sambung legasi.

Penyanyi Rozita Rohaizad terkilan apabila tidak diberi peluang untuk terlibat dalam konsert Muzika Ekstravaganza anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan MediaCorp yang berlangsung pada 19 Februari lalu.

Anak kepada Allahyarham Seniwati Mariani ini berkata, dia berasa sedih apabila lagu nyanyian ibunya berjudulYang Mana Satu Idaman Kalbu ciptaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dinyanyikan oleh penyanyi lain.

"Saya sedih dan rasa terpinggir kerana pada konsert tribute itu saya hanya diletakkan setaraf dengan penonton biasa sahaja.

"Sepatutnya mereka memberi penghormatan dengan memilih anak dan cucu seniman itu untuk membuat persembahan bagi menyambung legasi tersebut," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Ahad.

Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas tentang luahan rasa terkilannya di laman sosial apabila sering ditanya tentang penglibatannya dalam acara Muzika Ekstravaganza, malam Jumaat lalu.



Rozita bergambar dengan penyanyi Sufie pada malam konsert Muzika Extravaganza.

Konsert bagi menghargai karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu menampilkan penyanyi terkenal tanah air seperti Nassier Wahab, Siti Nordiana, Azlan The Typewriter, Hafiz Suip, Azhael, Farahdhiya serta Datuk Mokhzani Ismail.

Singapura pula membariskan artis ternama seperti Taufik Batisah, Hariani Hassan Bakri, Sufi Rashid, Rosalina dan Sezairi.

Rozita berkata, dia lebih tertekan apabila ramai penonton dan peminat-peminatnya yang turut menyaksikan konsert itu di televisyen bertanya mengapa dia tidak terlibat dalam program berkenaan.

Katanya, perkara tersebut membuatkan dia berasa malu dan tiada jawapan untuk diberikan.

"Saya tidak tahu ingin jawab apa kalau orang tanya kenapa saya tidak nyanyi pada konsert ini sedangkan lagu tersebut adalah lagu keluarga saya.

"Kalau diorang mahu memberi penghormatan sepatutnya beri peluang kepada saya dan cucu Allahyarham lain untuk buat persembahan dan bukannya penyanyi baharu," ujarnya.

Bagaimanapun, Rozita berkata ia bukan kali pertama, sebaliknya sudah biasa dipinggirkan dan tidak diberi peluang untuk beraksi di televisyen.

Dia turut merasakan bakatnya tidak dihargai oleh masyarakat di negara ini.

"Saya sudah beraksi di pentas luar negara dan baru pulang mewakili Malaysia ke Australia di Canberra National Multicultural Festival pada 13 hingga 15 Februari lalu.

"Insya-Allah, saya sudah pun dijemput untuk persembahan kali ketiga di festival yang sama pada tahun depan oleh pihak penganjur," ujarnya.

Previous Post Next Post