Seorang lelaki maut angkara pokok betik


Gara-gara berselisih faham kerana sebatang pokok betik, seorang lelaki terbunuh dalam pergaduhan membabitkan jirannya di Taman Teja, Tanjung Tualang di sini semalam.

Pokok betik yang menjadi punca pergaduhan dua jiran sehingga mengakibatkan kematian salah seorang daripada mereka di Taman Teja, Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nasri Omar berkata, mangsa, Choo Mun Keong, 43, yang merupakan seorang pekerja kontrak ditemukan dalam kea­daan terlentang di atas jalan kira-kira pukul 8.23 malam

Katanya, pemeriksaan awal terhadap mayat lelaki itu mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala dipercayai akibat terjatuh.

“Punca pergaduhan antara mangsa dan jirannya yang berusia 50 tahun itu adalah disebabkan sebatang pokok betik yang ditanam mangsa di belakang rumahnya.


“Mangsa dikatakan menggunakan baja najis haiwan untuk tanaman tersebut dan ini menyebabkan suspek berang berikutan bau busuk.

“Kemuncak pergaduhan itu bermula apabila suspek bertindak memotong pokok betik berkenaan kira-kira pukul 11 pagi sehinggalah tercetus pergaduhan antara mereka pada pukul 8 malam,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nasri berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

Ujarnya, pergaduhan antara dua lelaki itu tidak menggunakan sebarang senjata dan tiada kecederaan fizikal yang dapat dilihat pada tubuh mangsa.

“Suspek telah ditahan untuk siasatan dan rakaman percakapan isteri kepada kedua-dua lelaki ber­kenaan juga telah diambil.

“Mangsa yang cedera di kepala itu maut di tempat kejadian dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Previous Post Next Post