Strategi gila Aizat Amdan


KONSERT - Selepas single ke-12 selamat dilancarkan pada Disember tahun ini, Aizat merancangkan untuk tampil dengan sebuah konsert iaitu Konsert Live Aizat Amdan yang dijangka berlangsung pada Januari tahun hadapan.

SEpanjang tahun lalu, nama Aizat Amdan kurang diperkatakan bahkan menyepi daripada sebarang single baharu. Biarpun menimbulkan tanda tanya, namun, kehilangan sementara penyanyi Sungai Lui tidak pula sebuah rajuk atau memendamkan amarah duka.

“Saya masih ada. Cuma disebabkan tidak keluar dengan single baharu, nama saya seolah-olah kelam. Sebenarnya, sepanjang tahun lalu, saya banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja di sebalik tabir dan berada di Studio Kasi Gegar Entertainment (KGE).

“Saya juga sedang berusaha mengumpul material terbaharu bagi projek tahun ini,” ujarnya memulakan perbualan usai sidang akhbar pelancaran restoran miliknya, Kari Gegar Aizat di Dagang Avenue, Ampang baru-baru ini.

Memulakan putaran waktu 2016 Aizat sudah punya perancangan terbaik untuk kariernya. Istimewa untuk semua peminat, pemilik nama penuh, Muhammad Aizat Amdan itu bakal muncul dengan 12 single baharu yang dijangka dilancarkan setiap bulan sepanjang tahun ini. Pelik tetapi itu yang cuba disampaikannya. Ini bermakna, setiap bulan Aizat akan meluncurkan sebuah lagu baharu untuk dijual dan bersaing di pasaran muzik.

“Selain mewujudkan kelainan, saya mahu tahun ini menjadi pemacu kepada karier yang agak perlahan sejak tahun lalu. Bunyinya memang seakan-akan ‘gila’ dan saya mengaku pada awalnya tidak mempunyai keyakinan untuk melakukannya. Agak susah untuk buat 12 lagu dan lancarkan setiap bulan.

“Tetapi, saya anggap ia sebagai cabaran. Kalau artis lain dalam Malaysia belum pernah lakukan, biar saya yang buat. Artis luar memang sudah lama lakukan strategi sebegini seperti di Hollywood dan Korea Selatan. Bahkan ada antara mereka yang mengeluarkan single baharu selang dua minggu.

“Ini namanya strategi. Kalau perancangan saya berjalan lancar dan peminat sukakannya, maka eksperimen ini berjaya. Apa-apa pun, saya cuma mengharapkan yang terbaik sahaja,” jelasnya yang pernah merangkul anugerah Penyanyi Lelaki Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009.

Tambah penyanyi berusia 27 tahun itu, semua lagu yang dilancarkan tersebut akan dimuat naik ke laman YouTube rasmi miliknya OfficialAizatAmdan.

Biarpun agak gusar dengan risiko cetak rompak atau aktiviti muat turun haram yang kian berleluasa, tetapi Aizat mengetepikan semua kekangan tersebut demi mencapai sasaran untuk kepuasan peribadi dan peminat.

“Takut memang takut sebab muat turun lagu secara digital memang tidak boleh dibendung. Sebenarnya, ia bukan soal duit, tetapi persoalannya adakah produk saya itu berbaloi untuk didengar oleh peminat. Kalau dapat melepasi sasaran, ia sesuatu yang bagus untuk tanda aras karier saya,” katanya.

Penyanyi yang cukup popular menerusi Hanya Kau Yang Mampu itu bagaimanapun enggan menggantungkan harapan setinggi langit bahawa kesemua 12 buah lagunya kelak terpilih dimainkan di corong radio.

Ujarnya: “Ada beberapa lagu yang hanya dimuat naik dalam YouTube dan tidak dihantar ke stesen radio. Sebab saya sendiri faham dengan situasi stesen radio sekarang, mereka pilih lagu yang di mahu sahaja. Saya tidak boleh mendesak atau memaksa siapa-siapa.

“Bahkan, masyarakat kita sekarang sudah pandai memilih untuk mendengar lagu yang disukai mereka. Selalunya fokus peminat terhadap sesebuah lagu tidak akan bertahan lama, mereka selalu akan mencari lagu baharu untuk didengar,” jelasnya lagi.

Perancangannya berbaur semangat. Tidak hanya terhenti dengan pelancaran single sepanjang tahun ini, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu juga merancang untuk menerbitkan Konsert Live Aizat Amdan dijangka pada Januari tahun hadapan.

“Ia sebagai penghargaan buat peminat yang setia menyokong perjalanan seni saya selama ini. Tambahan, konsert tersebut untuk meraikan 10 tahun penglibatan dalam dunia hiburan selain menyaksikan pelancaran album baharu nanti,” tuturnya.

Tidak hanya kembali dengan perancangan satu bulan sebuah single, Aizat juga telah melebarkan kariernya memasuki dunia kulinari apabila membuka sebuah restoran dengan nama Kari Gegar yang terletak di Dagang Avenue, Ampang.

Dibuka secara rasmi sejak 28 Januari lalu, restoran tersebut merupakan cetusan idea daripada keluarganya yang ingin memartabatkan resepi dan makanan tradisi masakan kampung keluarganya yang berasal dari Raub, Pahang.

“Selain meminati muzik, keluarga saya juga suka makan (ketawa). Signatur restoran kami adalah gulai kari ayam dan sambal hitam bilis. Sebab itu kami pelbagaikan ruang bisnes kepada pembukaan restoran untuk berkongsi keenakan gulai kari tersebut yang merupakan resipi turun temurun dari kampung keluarga saya.

“Tambahan, gulai kari juga merupakan salah satu makanan yang membantu saya menurunkan berat badan dahulu. Memang bunyi seperti saya membuat lawak, tetapi ia perkara betul. Saya memang amalkan makan gulai kari dalam diet pemakanan. Sebab ia tidak terlalu berlemak dan ada rasa pedas, jadi ia sangat sesuai untuk menambat selera pengunjung nanti,” ujarnya.


Jodoh

Ditebak dengan soalan klise mengenai jodoh memandangkan semua rakan seperjuangannya ketika sama-sama di Akademi Fantasia kebanyakannya sudah berumah tangga, Aizat hanya tersenyum nipis.

Katanya, dia masih tidak mempunyai jawapan untuk soalan sedemikian memandangkan jodoh dan ketentuan adalah urusan Tuhan. Jika sampai waktunya nanti, pasti dia akan mengikut jejak langkah rakan-rakan lain seperti Mila.

“Saya tidak kisah untuk mendirikan rumah tangga, kalau jodoh sudah sampai pasti saya akan berkahwin. Cuma buat masa sekarang saya masih belum berjumpa siapakah calon isteri yang sesuai.

“Kalau mahu dibuat isteri, saya mahu seorang wanita yang mempunyai visi yang serupa dengan saya termasuk dalam soal hidup dan kerjaya. Seorang yang beriman dan bersependapat, itu juga sangat penting,” ujarnya.

Belum terungkai soal jodoh, Aizat dicuit dengan desas-desus yang mengaitkannya dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aisyah Aziz yang juga adik kepada penyanyi Aliff Aziz.

“Kami cuma rakan biasa. Memanglah saya selalu keluar makan dengan Aisyah tetapi itu selepas kami selesai melakukan kerja di studio.

“Saya memang selalu keluar makan dengan sesiapa sahaja rakan artis yang ada urusan kerja di studio saya,” tutupnya yang pernah mencipta lagu untuk Aisyah berjudul Pilihan Sejati.

Previous Post Next Post