Suami minta Nad Zainal berdandan, cantik


SELAIN berlakon, Nad Zainal kini memiliki produk kesihatan sendiri yang diberi nama Audela.

TIDAK dinafikan, golongan wanita sering dikaitkan dengan bidang kecantikan dan kesihatan. Selari dengan pertambahan usia dan perubahan gaya hidup, pelbagai alternatif digunakan oleh golongan wanita untuk menjaga imej dan penampilan.

Bagi pelakon Nad Zainal, masalah pertambahan berat badan yang di alami sekitar tahun lalu sering menyebabkan dia berasa kurang selesa. Walaupun kerap kali mencuba beberapa produk pelangsingan badan dan kerap bersenam, tubuhnya tetap tidak kembali kurus.

Bosan dengan janji palsu produk pelangsingan sedia ada di pasaran, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin mengambil inisiatif untuk memasarkan jenama minuman kesihatan dan kecantikannya sendiri, Audela.

Ketika ditemui pada majlis prapelancaran produk berkenaan di Kafe Nomad, Empire Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, pelakon filem Kami Histeria itu berkata, sejak mencuba Audela bulan lalu, beratnya turun daripada 52 ke 48 kilogram.

Menurut Nad, minuman yang diperkaya dengan ekstrak buah beri itu turut memberikan kesan pencerahan pada kulitnya.

Selain itu, Nad, 26, turut berkongsi berkenaan perubahan hidup status sebagai seorang isteri selepas mendirikan rumah tangga dengan Faliq Amirudin, Disember lalu.


KOSMO!: Boleh Nad kongsikan sedikit mengenai idea untuk mengeluarkan produk tersebut?

NAD ZAINAL: Idea untuk mengeluarkan produk ini tercetus apabila percubaan saya untuk kurus dengan menggunakan produk sedia ada di pasaran gagal. Pelbagai cara telah dicuba, namun berat saya ketika itu masih tidak berjaya dikurangkan. Sehingga saya dan rakan kongsi berbincang untuk menghasilkan Audela.

Apakah perbezaan produk ini jika mahu dibandingkan produk kesihatan dan kecantikan lain?

Jika kebanyakan produk kesihatan dan kecantikan tertumpu pada kesan pemutihan, iaitu penggunaan glutathione (agen pencerahan untuk kulit) tetapi Audela lengkap dengan ekstrak buah beri dan epal untuk tujuan pengurangan berat badan. Setakat ini, berat saya turun sebanyak empat kilogram. Bagi sesiapa yang berminat, boleh dapatkan secara online di @by_nadzainal sebelum ia dilancarkan secara rasmi Mac depan.

Adakah Audela mempunyai kesan sampingan?

Sejujurnya, ada. Ketika mencuba produk ini untuk kali yang pertama, saya berasa pening-pening selama dua minggu. Pada awalnya, saya fikir itu simptom kehamilan. Rupanya, ia adalah kesan awal pengambilan Audela.

Bercakap mengenai kehamilan, apakah perasaan apabila mendapat tahu yang anda tidak hamil?

Saya berasa agak terkilan. Sejak mendirikan rumah tangga, saya memang teringin untuk menimang cahaya mata tetapi buat masa ini, rezeki belum ada.

Bagaimanakah reaksi suami anda?

Saya sering mengimpikan sebuah keluarga kecil yang lengkap, manakala suami pula lebih selesa untuk menambah ahli keluarga selepas setahun berkahwin. Bagaimanapun, itu bukanlah satu masalah.

Boleh kongsi perasaan selepas hampir dua bulan bergelar isteri?

Banyak perubahan yang berlaku sejak bergelar isteri. Jika dahulu saya hanya memandang remeh soal penampilan kecantikan, namun selepas berkahwin, suami banyak menyuruh saya menjaga imej diri. Katanya, dia suka melihat saya selalu bergaya dan cantik.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal muncul dengan telefilem komedi berjudul Auta bersama Shukri Yahaya. Selain itu, saya juga akan muncul dengan filem Soul Mate tidak lama lagi.

Selepas berumah tangga, adakah anda merancang untuk menumpukan perhatian pada keluarga?

Buat masa ini, saya tidak merancang untuk memperlahankan karier lakonan. Tawaran juga datang seperti biasa. Jika diberi peluang, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu seperti mengacarakan rancangan travelog.

Previous Post Next Post