Tiada lelaki berani dekati Nor Albaniah


LAMA tidak muncul di layar perak, Nor Albaniah kini beraksi dalam filem seram berjudul Pelepas Saka.

WALAUPUN sudah menginjak usia 46 tahun, pelakon Nor Albaniah masih kekal dengan bentuk badan yang menggiurkan. Biarpun dikritik peminat kerana imej seksi yang dibawanya tidak sesuai usianya, Albaniah tetap positif dan tidak mengambil pusing terhadap komen negatif itu.

Diam tidak diam, sudah 20 tahun Nor Albaniah atau nama sebenarnya, Nor Albaniah Raffie menjanda sejak kehilangan arwah suaminya, Sudarman (bekas pelumba kereta) yang meninggal dunia dalam satu kemalangan di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 1996.

Ujarnya, walaupun ada lelaki yang cuba hadir ke dalam hidupnya untuk menggantikan tempat arwah suami, baginya, tidak pernah ada lelaki yang layak menggantikan Sudarman. Dia lebih selesa untuk menjalani hidup sendirian membesarkan anak tunggalnya, Syarra, 21.

Jarang beraksi di kaca televisyen mahupun di layar perak, pelakon jelita berasal dari Perak tersebut baru-baru ini membuat kemunculan semula menerusi filem Pelepas Saka. Dalam filem terbitan MIG yang mula ditayangkan di pawagam bermula 4 Februari tersebut, Nor Albaniah melakonkan watak jahat bernama Asiah.


Artsi Meletop!: Apa khabar Nor Albaniah? Bagaimana dengan kehidupan anda sekarang?

NOR ALBANIAH: Alhamdulillah, Sihat walafiat. Hidup saya semakin lama semakin diberkati.

Anda bergelar balu sejak 20 tahun lalu, tidakkah tempoh tersebut membuatkan anda kesunyian dan terfikir mencari pengganti arwah suami?

Bukan mudah mencari pengganti. Dia (arwah) merupakan lelaki paling jujur yang pernah saya kenal sepanjang hidup. Untuk mencari pengganti, saya perlukan seseorang sepertinya ataupun lebih baik daripada arwah. Ternyata, selepas 20 tahun berlalu, saya masih belum dipertemukan dengan mana-mana lelaki yang memiliki ciri-ciri tersebut. Saya pernah mahu mencari pengganti tetapi kalau pengganti tidak mampu membahagiakan, lebih baik saya menyendiri sahaja.

Maksudnya, memang tiada lelaki yang berani mendekati atau serius mahu menjadikan anda sebagai isteri?

Ya, memang tiada lelaki yang berani mendekati saya. Barangkali personaliti saya yang agak seksi dan kasar membuatkan sesetengah lelaki berasa takut untuk mengenali atau mendekati saya. Ada juga yang menunjukkan usaha untuk berkenalan, tetapi kalau ia tidak ada ciri-ciri lelaki budiman seperti yang saya harapkan, tidak mengapalah, saya lebih rela hidup menjanda (tertawa).

Bercakap tentang imej seksi dan usia menjengah separuh abad, adakah anda akan terus berimej sedemikian pada masa akan datang?

Saya cuma menjadi diri sendiri. Saya menang jenis begini. Mengapa perlu saya menipu orang lain dengan menjadi seseorang yang bukan diri sebenar. Saya tidak kisah orang nak kata apa kerana saya sendiri yang mengharungi hidup ini, bukan mereka. Kalau mereka ingin mengata, biarkan sahaja.

Berusia 46 tahun dengan fizikal ramping dan wajah yang masih menawan. Boleh kongsi rahsia kecantikan dan kesihatan anda?

Terima kasih (ketawa). Sebenarnya banyak pantang larang yang perlu dipatuhi untuk terus kelihatan seperti sekarang. Antaranya, saya tidak mengambil minuman berais dan memperbanyakkan minum air mineral.

Selain itu, saya gemar menghabiskan masa di gimnasium. Ingin saya akui di sini, apabila tidak terikat dengan jadual seni, saya juga seperti orang lain. Saya lebih suka berpakaian ringkas. Misalnya, apabila ke pusat beli-belah, saya hanya pakai selipar.

Selain masih lagi aktif dengan lakonan, apa lagi yang anda usahakan untuk menampung kehidupan?

Sebelum ini saya terlibat dengan perniagaan keluarga. Sekarang ini, saya tidak lagi melibatkan diri dengan bisnes tersebut kerana saya ingin kembali fokus terhadap lakonan yang telah lama saya tinggalkan.

Difahamkan, kerjaya seni anda kini diuruskan oleh Syarra. Dengarnya, dia juga meminati bidang seni seperti anda, benarkah?

Syarra cuma membantu menaikkan semangat saya untuk terus berjuang dalam apa jua usaha yang dilakukan. Saya beruntung kerana dikurniakan anak yang sangat menurut perintah dan memahami. Kalau ada yang ingin mengambilnya berlakon, mengapa tidak. Saya tidak mempunyai sebarang halangan, tetapi Syarra ada memberitahu saya bahawa dia tidak meminati bidang lakonan.

Selain Pelepas Saka, apa lagi perkembangan anda dalam bidang lakonan?

Ketika ini saya muncul menerusi drama Cinta Hati Abah di kaca televisyen. Tidak lama lagi, drama bersiri Married Tapi Benci pula akan menyusul. Telemovie Puteri Labu juga rancak ditayangkan di TV1.

Previous Post Next Post