Ura-ura hamil, Yana selesa berdiam


Yana enggan mengiyakan atau menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya kini sedang berbadan dua.

Seri yang menghiasi wajah manis Yana Samsudin sangat indah. Di bibirnya pula, ada senyuman bahagia yang terukir menandakan hidupnya kini terisi mawaddah cinta. Hanya dia dan pasangan, Fadzil Zahari sahaja yang tahu di sebalik makna bahagia yang hadir dalam hidup mereka saat ini.

Mereka di luar hanya dapat menebak keadaan tubuhnya terutama di bahagian perut kelihatan seakan-akan diisi benih bernyawa, namun tatkala menyuakan persoalan tersebut Yana hanya tertawa besar.

“Agak-agak berapa bulan? Sebab ramai yang bertanya kata nampak perut saya ketika majlis resepsi Saheizy Sam dan Syatilla,” katanya secara berseloroh ketika ditemu bual empat media hujung minggu sempena mempromosikan drama terbaharu lakonannya bersama Farid Kamil iaitu Qanun 99.

Tidak mengiyakan jauh sekali menafikan, Yana hanya memberitahu, jika ada atau tidak ada sekali pun dia tidak mahu kongsikan.

“Jika ada pun dan ia masih lagi baharu saya tidak selesa untuk kongsikannya sementelah latar belakang keluarga Fadzil ramai yang doktor. Kata mereka, jika kandungan baru beberapa minggu tidak elok dikongsikan sebab ia masih belum kuat,” ujarnya berbasa-basi.

Sejak mendirikan rumah tangga dengan Fadzil pada 13 Februari tahun lalu, Yana dan suaminya sudah melayari bahtera perkahwinan lebih setahun. Masih dalam mood bulan madu dan ia jelas dilihat apabila Fadzil setia membantu Yana sepanjang sesi fotografi pada hari itu.


Lebih suka diperhati

Aktres berasal dari Yong Peng, Johor ini memulakan mukadimah mengenai drama Qanun 99 dengan satu pernyataan tentang dirinya yang kini bergelar isteri dan juga adik ipar kepada pelakon Farid Kamil.

“Kalau sebelum berkahwin, berlakon dengan Farid dalam filem daring pun ada iaitu filem Aku Masih Dara. Bagaimanapun, sejak berkahwin dengan adik dia dan kini menjadi adik iparnya, saya risau juga kalau kena berlakon menjadi pasangan kekasih,” ujarnya sambil tertawa kecil selain turut berasa lega kerana tiada babak bercinta dalam drama siaran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) itu.

Pertama kali membawa peranan sebagai peguam, Yana sedikit lega apabila watak Zahara yang dilakonkannya tidak begitu berat seperti mana watak yang dipikul Farid.

“Karakter saya dalam drama ini sedikit gila-gila tetapi dia seorang yang positif. Zahara juga baru habis belajar jurusan undang-undang dan kemudiannya bekerja di firma guaman. Jadi, seperti mana Zahara baru belajar untuk menjadi peguam sebenar, proses itu mudah untuk saya menjiwainya,” ujar Yana yang turut memberitahu sepanjang penggambaran drama tersebut ada seseorang daripada firma guaman yang memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Tidak berasa rimas, Yana berasa lebih lega kerana dia dapat mengolah watak seorang peguam dengan betul.

“Walaupun kami hanya berlakon tetapi pihak guaman mahu kami mengikut protokol supaya tidak berlaku sebarang kesalahan. Jadi, ada orang dari firma guaman yang memerhatikan kami sepanjang penggambaran.

“Tetapi saya suka begitu, sebab saya dapat tahu etika, adab dan cara seorang peguam,” jelasnya lagi.

Qanun 99 beri banyak manfaat

Atas lesen kemanusiaan, Yana menyifatkan drama Qanun 99 yang ditayangkan setiap hari Jumaat, pukul 7.30 malam itu memberi banyak manfaat kepada orang ramai.

“Mungkin ada yang berasakan kos nak ambil peguam itu mahal tetapi sebenarnya ada biro guaman percuma yang boleh menguruskan kes-kes untuk mereka yang tidak berkemampuan.

“Ini berlaku dalam hidup saya sebenarnya. Masa umur saya awal 20-an, ada kawan di kampung yang menghadapi masalah rumah tangga. Mereka diceraikan tetapi tidak ada susulan. Tempat tinggal tidak ada. Nafkah tidak dapat. Jadi, dengan adanya drama ini ia membuka mata sebenarnya bahawa banyak cara untuk mereka menuntut hak tanpa mengeluarkan perbelanjaan besar,” jelasnya mengenai drama terbitan KL Motion Picture Company Sdn. Bhd. itu.

Setelah melakonkan watak seorang peguam, Yana juga dihujani banyak pertanyaan daripada peminat. Ada yang bertanya kepadanya mengenai isu poligami dan juga hak sebagai seorang isteri serta ibu yang ditinggalkan anak-anak.

Gembira dengan maklum balas positif mengenai drama tersebut, dalam perkembangan lain, pemilik jenama tudung Ayana by Yana Samsudin ini juga merupakan pengacara bagi program RTM iaitu Jejak Seribu Kaki.

“Program ini memaparkan isu menjejaki golongan asnaf iaitu golongan yang berhak menerima zakat. Kami bahagiakan mereka dengan dekorasi perabot-perabot baharu.

“Mungkin ada yang bertanya kenapa bagi perabot tetapi tidak duit. Hakikatnya mereka tidak merasai semua itu. Jika ada orang bagi pun semua perabot lama,” jelasnya yang juga bakal muncul menerusi filem dengan produksi Cina yang berjudul Happy Birth Death.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »