Variasi karakter Raja Ilya


Nama Raja Ilya mudah memacu bayangan tentang seorang perempuan penggoda jahat dengan jelingan tajam serta senyuman sinis di wajahnya.

Pemilik nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 30, cukup sedar persepsi umum terhadap dirinya, namun dia langsung tidak mengambil hati tentang perkara tersebut.

Berkali-kali Raja Ilya membuat kenyataan, betapa dia bangga terhadap watak antagonis yang menjadi periuk nasinya dalam industri selama ini. Baginya, kepuasan yang diperoleh setiap menjayakan watak jahat jauh lebih indah berbanding kebencian yang menular di hati peminat.

Berbicara lanjut tentang kebencian umum terhadap lakonan jahatnya, dia tahu dalam masa sama peminat juga menyayangi dirinya.

Ditemui pada sidang akhbar pelancaran drama Gerak Khas 2016, Raja Ilya mengakui:

“Sewaktu mengikuti siri jelajah Jom Heboh tahun lalu, saya pernah diserbu oleh sekumpulan peminat yang terdiri daripada wanita berusia lewat 40-an. Mereka bersesak-sesak untuk mendekati saya sehingga terpaksa ditahan beberapa pengawal keselamatan.

“Ketika membuat ucapan di hadapan, saya bertanya adakah mereka membenci saya dan dengan pantas mereka menjawab 'ya' tetapi disusuli jawapan, 'kami memang tidak suka watak Che Allin dalam Syurga Nur tapi kami sayang Raja Ilya'.

“Mereka sebenarnya mahu bergambar dengan saya.”

Kejadian tersebut benar-benar menyentuh hati Raja Ilya dan membuatkan dia lebih bersungguh-sungguh untuk menjayakan apa sahaja watak yang ditawarkan demi peminat.



INSPEKTOR SYAKILA: Meskipun sudah memegang watak pegawai polis, Raja Ilya tidak akan mengubah sikap atau perangainya ketika berada di luar set penggambaran. Menurutnya, peminat dan penonton perlu tahu membezakan antara karakter drama dan realiti seseorang pelakon tersebut.

Ubah angin

Bersyukur dengan keserasian identiti wanita penggoda dengan dirinya, itu tidak bermakna Raja Ilya sudah menutup peluang untuk bereksperimentasi dengan karakter lain.

Kata Raja Ilya, dia gemar mencabar diri dan cuba melakonkan sesuatu yang di luar zon selesa. Tahun ini contohnya, diari seninya dibuka dengan dua karakter yang langsung bertentangan dengan profil seni selama ini.

Menjelang 4 Mac nanti, peminat akan dapat menyaksikan Raja Ilya segak beruniform seorang pegawai polis dalam siri drama kepolisan terkenal, Gerak Khas 2016.

Bangga dan terharu terpilih bekerja dalam produksi yang sudah mempunyai reputasi tersendiri dalam dunia seni tersebut, Raja Ilya memegang watak Inspektor Syakila, seorang yang gila-gila dan gemar bergurau.

“Saya tidak tahu andai saya mampu atau tidak membawa watak sedemikian kerana selama ini tidak pernah ditawarkan watak begitu. Saya amat berterima kasih kepada Datuk Yusof Haslam atas kepercayaan yang diberi.

“Memang lain rasanya menjayakan watak anggota beruniform. Menyarungkan uniform polis sahaja, semangatnya rasa lain macam. Secara tidak langsung, ia membuatkan cara saya membawa diri dan bercakap seolah-olah pegawai polis sebenar,” katanya yang banyak meminta tunjuk ajar pelakon Salina Saibi yang lebih senior dalam drama bersiri berkenaan berbanding dirinya.

Selain Gerak Khas 2016, pelakon drama Dahlia itu juga sedang sibuk menjalani penggambaran filem arahan Datuk Prof. A. Razak Mohaideen bertajuk Soulmate. Selain berpeluang bergandingan dengan selebriti kelahiran Singapura, Taufik Batisah, dia juga berlakon di sisi Erra Fazira dalam filem berkenaan.

Bercerita tentang pengalaman bekerja bersama Taufik, timbul sinar kegirangan dalam anak mata wanita yang mengakui sudah bertemu hero paling tepat buat dirinya.

Bukan bermaksud aktor lain yang bergandingan dengannya sebelum ini tidak bagus, namun daripada segi penampilan fizikal, Raja Ilya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Taufik.

“Kami sama tinggi, berkulit hitam manis dan apabila gambar kami dirakamkan bersama, ia kelihatan sepadan sebagai pasangan di layar perak.

“Saya juga selesa bekerja dengan Taufik kerana keserasian yang timbul antara kami terjadi secara semula jadi. Saya berharap akan mendapat lebih banyak peluang berlakon bersamanya,” ujar Raja Ilya menyifatkan keterujaan itu sekadar sebagai sebahagian daripada kerjanya sebagai aktres profesional.


BUKAN GADIS AYU: Raja Ilya menolak untuk membawa watak perempuan kampung yang memerlukan dirinya menangis, kelihatan ayu dan bersopan kerana merasakan wajahnya tidak sesuai dengan karakter sebegitu. Dia lebih selesa membawa watak yang ala-ala tomboy ataupun wanita lasak dan banyak ruang berdikari.

Belum sedia kahwin

Bagi kebanyakan wanita yang sudah mencecah usia 30 tahun, umur dijadikan penanda aras untuk mendirikan rumah tangga. Segelintirnya pula sudah mulai bimbang andai digelar anak dara tua.

Berbeza dengan Raja Ilya, dia masih belum puas bekerja dan menikmati kehidupan sebagai wanita solo yang sedang mengukir nama.

Memasuki tahun kedua menjalin percintaan dengan seorang model dan ahli perniagaan dari Australia bernama Trent, Raja Ilya enggan terburu-buru dalam berbicara soal rumah tangga.

Meskipun kekasih hati ada menyatakan hasrat untuk membawa hubungan mereka ke tahap lebih serius, namun Raja Ilya dengan lembut menolak dengan alasan masih awal buatnya untuk bergelar isteri.

“Masih banyak impian dalam hidup saya yang belum tercapai iaitu berlakon dalam filem Bollywood dan memenangi anugerah untuk kerja keras saya sebagai pelakon.

“Teman lelaki memahami pendirian saya dan setakat ini, dia tidak memaksa agar saya memilih antara kerjaya dan cinta. Dia juga antara orang yang paling banyak memberi sokongan kepada saya dalam mengejar cita-cita dalam hidup,” katanya yang banyak berhubung dengan Trent menerusi laman sosial dan sesekali menerima kunjungan mengejut daripada kekasihnya itu.

Mengulas lanjut tentang perbezaan agama antara mereka, Raja Ilya berkata selagi belum memutuskan berkahwin, dia tidak berhak untuk menyuruh Trent menukar agama daripada Kristian kepada Islam.

Tambah Raja Ilya, dia mahu memberi ruang agar teman lelakinya menyenangi Islam tanpa sebarang agenda tersendiri atau semata-mata untuk berkahwin dengannya.

“Jika dia mahu memeluk Islam, biarlah atas keinginan sendiri. Bukan atas tiket atau alasan untuk berkahwin dengan saya,” katanya sebelum menyimpul perbualan.

Previous Post Next Post