Yatt Hamzah nafi bakal suami orang ketiga


BIARPUN banyak spekulasi negatif tentang perkahwinan keduanya, Yatt Hamzah tetap positif menerima ketentuan jodoh baharunya.

SELEPAS tujuh bulan bergelar janda, pelakon dan pengacara Yatt Hamzah bakal melangsungkan perkahwinan buat kali kedua pada Sabtu 27 Februari ini.

Berita tersebut sekali gus menamatkan spekulasi yang bertebaran kencang sejak dua tiga hari lalu apabila beberapa buah portal hiburan menyiarkan gosip bahawa wanita berusia 36 tahun itu akan bernikah dengan seorang juruvideo yang 10 tahun lebih muda daripadanya.

Biarpun begitu, perkahwinan kedua Yatt tetap mendapat perhatian ramai apabila ada yang mendakwa bakal suaminya, Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, merupakan orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama bekas suami, Abdul Mutalib Shukor, 36.


Artis Meletop!: Tahniah untuk perkahwinan baharu anda yang akan berlangsung pada 27 Februari ini. Boleh kongsikan kepada kami tentang berita gembira tersebut?

YATT: Alhamdulillah, terima kasih. Insya-Allah, majlis pernikahan saya akan berlangsung dalam masa seminggu lagi. Ia akan diadakan pada pukul 8 pagi di Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor dan hanya dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat rapat sahaja. Pada sebelah tengah hari saya akan mengadakan sedikit jamuan kecil untuk meraikan pernikahan tersebut dan tidak akan ada majlis resepsi yang gah. Majlis tersebut diadakan sekali gus dengan sambutan ulang tahun keenam puteri tunggal saya, Suci Hanania Malika yang jatuh pada 28 Februari tetapi sengaja dibuat sekali.

Mengapa sebelum ini anda seperti mengelak untuk mengesahkan berita gembira ini?

Ya, memang betul saya tidak memberikan sebarang komen mengenai gosip tersebut. Sebab pada awalnya, saya merancang untuk memberitahu tentang perkara itu kepada keluarga terdekat, bekas suami dan sahabat terlebih dahulu. Tetapi, entah macam mana ia boleh bocor dan dapat dihidu oleh pihak lain. Sebenarnya, saya tidak kisah untuk berkongsi berita gembira ini tetapi kalau boleh saya mahu keluarga terdekat mendapat tahu terlebih dahulu.

Menjawab spekulasi mengenai dakwaan bakal suami merupakan punca perceraian sebelum ini, apa komen anda?

Ingin saya ingin tegaskan satu perkara yang menjadi bahan bualan orang ramai sejak gosip perkahwinan saya dihebohkan. Saya dan bakal suami sebenarnya sudah kenal lama sebagai rakan kerja memandangkan dia pernah bertugas sebagai juruvideo untuk perniagaan baju muslimah yang saya usahakan. Tetapi, hubungan kami mula menjadi rapat selepas saya memfailkan perceraian kali kedua di mahkamah tahun lalu. Jadi, rasanya tidak perlu mengaitkan dia sebagai orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga saya. Demi Allah, dia tiada kena mengena dengan perkara tersebut. Biarlah saya dan Tuhan sahaja yang tahu mengenai perkara itu dan jangan babitkan orang lain ke dalam hal yang sudah pun berlalu. Apa yang saya lakukan ini adalah perkara baik iaitu mendirikan masjid. Kerja jodoh, ajal dan maut semuanya kerja Tuhan dan siapalah kita sebagai manusia untuk menolak ketentuan Ilahi.

Apa pula respons anda terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas suami yang tidak menafikan tentang perkara tersebut?

Itu hak dia untuk berkata apa sahaja. Sebab saya bukan lagi isteri dia dan hanyalah ibu kepada anak kami berdua, itu sahaja. Apa sahaja yang keluar dari mulut dan hati dia, saya tidak mahu ambil peduli. Biarlah saya tidak menjawab perkara itu sebab khuatir ia akan berlarutan menjadi besar. Fokus saya sekarang hanyalah untuk majlis pernikahan nanti. Saya pun ada menjemput bekas suami ke majlis, tapi terpulang kepada dia untuk hadir atau tidak. Saya tiada tujuan lain menjemputnya hadir melainkan menganggap dia sahabat baik dan bapa kepada anak kami. Dalam masa sama, saya mendoakan yang baik-baik untuk bekas suami sebab dia sememangnya seorang ayah dan suami yang baik.

Beralih kepada perkembangan terkini anda?

Sekarang saya hanya tumpukan kepada perniagaan sahaja dan sibuk menguruskan anak. Semakin dia membesar, semakin banyak akal. Cuma, apa yang diharapkan melalui perkahwinan ini akan membuka lebih rahmat buat kami sekeluarga nanti, Insya-Allah. Sebab Tuhan ciptakan manusia berpasangan dan saya harapkan hidup akan lebih bermakna selepas ini.

Previous Post Next Post