Yuna Dedah Album Baharu Lancar 20 Mei Depan


Kulit album terbaharu penyanyi Yuna berjudul Chapters yang bakal berada di pasaran pada 20 Mei depan.

Album ketiga penyanyi Yuna yang diterbitkan di Amerika Syarikat berjudul Chapters bakal dipasarkan pada 20 Mei depan.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 30, menerusi temubual bersama The Fader pada Jumaat turut mengumumkan lagu Places To Go sebagai single pertama daripada album berkenaan.

Penyanyi itu turut mendedahkan dia bekerjasama dengan komposer terkenal DJ Premier menerusi lagu itu.

DJ Premier seorang DJ dan komposer terkenal sebelum ini pernah menerbitkan album untuk The Notorious B.I.G., Christina Aguilera, Kanye West, Jay Z, Limpi Bizkit dan Busta Rhymes.


"Saya sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan DJ Premier dan masih tidak percaya kami bekerjasama dalam album terbaharu ini.

"Places To Go adalah karya terbaik yang pernah saya tulis sejak sekian lama," katanya.

Terdahulu Yuna dalam satu temubual bersama mStar Online berkata, album terbaharunya itu akan memuatkan 12 buah lagu selain mendedahkan turut bekerjasama dengan bintang R&B Usher dan David Foster.

Sebelum ini, Yuna telah mengeluarkan empat album di Malaysia iaitu Yuna (2008), Decorate (2010), Terukir Di Bintang (2012), dan Material (2015).

Manakala empat album Amerika Syarikat (AS) iaitu Decorate EP (2011), Yuna (2012), Sixth Street EP (2013) dan Nocturnal (2013).

Previous Post Next Post