Zizan Nin enggan buka mulut kisah cerai


MESKIPUN telah bercerai, hubungan Zizan dan bekas isteri (Hani) masih lagi baik. Gambar dirakam sewaktu majlis akad nikah mereka pada 20 Mac 2010 di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Tanpa sebarang kontroversi, tiba-tiba sahaja pelakon Zizan Nin mendedahkan dia telah sah bercerai dengan isterinya, Fazilah Hani Harun, 35, pada awal Januari lalu selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Meskipun begitu, Zizan, 42, tetap dengan pendiriannya enggan mendedahkan punca perceraiannya dengan bekas isterinya yang merupakan seorang pembaca berita stesen televisyen swasta.

Zizan yang tidak mempunyai cahaya mata sejak berkahwin pada 20 Mac 2010 menjelaskan, hubungannya dengan bekas isteri masih baik memandangkan perpisahan mereka hasil perbincangan bersama.

Kini, selepas kembali solo, Zizan hanya memberi fokus kepada kerjaya sebagai pelakon serta penerbit eksekutif di syarikat produksi, Aquila Emas Sdn. Bhd.


Artis Meletop!: Benarkah Zizan telah bercerai sebulan yang lalu?

ZIZAN NIN: Ya, memang saya telah bercerai awal Januari lepas. Saya tidak menghebahkan kerana tidak suka menjaja kisah peribadi. Apabila ditanya pihak media barulah diberitahu tentang status terkini diri saya.

Apakah punca perceraian anda dan bekas isteri?

Saya tidak mahu bercerita lanjut, cukuplah orang tahu kami telah bercerai. Saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia dugaan yang diberikan Allah dalam kehidupan.

Bagaimanakah hubungan dan dengan bekas isteri?

Alhamdulillah kami masih berbaik dan tiada sebarang masalah. Kami sudah dewasa dan matang, keputusan untuk bercerai juga hasil perbincangan bersama.

Apakah perbezaan kehidupan anda selepas kembali solo?

Bezanya semasa masih bergelar suami, Hani (bekas isteri) selalu kejutkan saya untuk bangun solat Subuh. Sekarang saya harus kunci jam. Jika ada penggambaran atau kerja luar daerah, dia selalu ingatkan saya. Memori dan bimbingan Hani terhadap saya tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Selepas melalui kegagalan dalam perkahwinan, adakah anda serik untuk kembali bergelar suami?

Saya tidak boleh kata serik, perkahwinan ada pahit dan manisnya. Ia pengalaman berharga dan apa yang berlaku saya tidak boleh salahkan takdir.

Cuma buat masa ini saya tidak terfikir soal mencari pengganti kerana hanya fokus pada kerja sahaja.

Apakah perkembangan terkini kerjaya seni kerana kelibat anda semakin jarang kelihatan di kaca televisyen?

Sebenarnya sejak tahun 2008, saya telah aktif dengan kerja belakang tabir sebagai penerbit eksekutif di syarikat produksi Aquila Emas Sdn. Bhd.. Sudah banyak drama, dokumentari dan program dihasilkan oleh syarikat saya.

Maknanya anda sudah tidak aktif berlakon seperti dahulu?

Saya masih berlakon kerana dunia lakonan sudah sebati dengan jiwa. Namun, disebabkan komitmen di syarikat produksi sendiri, kadang-kala saya terpaksa menolak penggambaran yang mengambil masa panjang. Kali terakhir saya berlakon sekitar dua bulan lalu dalam sebuah telefilem untuk RTM berjudul Rindu Bertemu Tuhan. Kini saya sedang sibuk dengan penggambaran drama rantaian Naluri Bencinta.

Khabarnya anda baru kembali dari Nagoya, Jepun atas urusan kerja?

Memang benar, saya mewakili Malaysia bersama delegasi dari beberapa negara Asia Tenggara lain telah dijemput melakukan lawatan kerja ke Nagoya, Jepun oleh Jabatan Pelancongan Bandar Nagoya pada 25 sehingga 29 Januari lalu.

Di sana kami diperkenalkan lokasi menarik sekitar Nagoya untuk penggambaran. Jika semuanya berjalan lancar, mungkin saya akan melakukan drama atau dokumentari di sana. Doakan yang terbaik untuk kerjaya dan diri saya.

Previous Post Next Post