Adi Putra: Saya sering dilabel antagonis


ADI tidak kisah jika dirinya dilabel antagonis asalkan lakonannya memberi kesan kepada penonton.

Andai kata-kata yang disuarakan mengenai lakonannya bersifat negatif, namun pelakon Adi Putra tetap menerimanya dengan hati terbuka.

Baginya, jika ada yang melabelkannya sebagai pelakon antagonis, Adi tidak akan cepat melatah.

“Saya tidak ada masalah dilabelkan begitu. Sebabnya saya dah biasa dengan reviu dan komen daripada peminat dan masyarakat. Biarpun ada tanggapan negatif, tetapi apabila kita berlakon ia tidak menjejaskan lakonan. Gelaran sebegitu juga tidak mendatangkan masalah bagi saya,” ujar Adi yang turut digelar pelakon romantik selain didakwa memilih heroin gandingannya dalam drama mahupun filem.

Mengulas dakwaan tersebut, dengan tenang pelakon berusia 35 tahun itu memberitahu, dia hanya menitikberatkan perwatakannya dalam drama atau filem berbanding heroin gandingannya.

“Jika saya dikatakan memilih heroin, Mira Filzah sendiri merupakan pelakon baharu. Saya menerimanya dalam drama Cinta Si Wedding Planner. Kalau saya sendiri tidak memberikan ruang kepadanya, macam mana dia mahu melayari industri seni ini. Saya tidak boleh ada sifat memilih heroin,” jelasnya.

Duta

Adi turut berkongsi mengenai gandingannya bersama Mira yang disifatkan penonton tidak sesuai kerana faktor umur yang jauh bezanya dengan pelakon berusia 23 tahun itu.

“Pada awalnya orang cakap tak sesuai gandingan saya dengan dia sebab saya lebih berumur. Itu adalah cabaran bagi saya macam mana nak jadikan usia itu tidak jauh beza melalui gaya lakonan yang ditonjolkan. Alhamdulillah, akhirnya rating drama itu naik,” luahnya ketika ditemui pada pelancaran program Umrah Bersama Selebriti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program itu adalah kerjasama syarikat milik Adi iaitu Hadid Travel & Tours dan juga FA Izin International Travel & Tours.



Lebih daripada itu, Adi juga menyifatkan, selain Mira, dia juga pernah bergandingan dengan Sherry Ibrahim dalam drama Teduhan Kasih dan juga Nora Danish dalam drama Tentang Dhia ketika kedua-dua pelakon itu belum menonjol dari segi lakonan.

Berkongsi mengenai pakej umrah bersama selebriti yang dianjurkannya, Adi memberitahu, syarikatnya turut melantik Mira Filzah dan Imam Muda Hizbur sebagai duta untuk pakej umrah yang dikendalikannya bersama syarikat itu.

Pakej umrah

“Rombongan saya akan pergi dulu bermula 4 hingga 14 April ini. Selepas itu, umrah bersama Roslan Shah (12 hingga 23 April), AG Kool FM (21 April hingga 2 Mei), Imam Muda Hizbur (12 hingga 23 Mei), Mira Filzah (4 hingga 14 Jun) dan Maulana Noor Effendi (16 hingga 27 Jun) akan menyusul.

“Bagaimanapun saya akan berada di Tanah Suci Mekah selama tiga bulan dan turut bersama selebriti-selebriti dan rombongan mengerjakan umrah,” jelasnya.

Disoal kenapa Mira dipilih dan tidak takutkah andai dia digosipkan dengan bintang yang semakin menyinar itu tatkala mengerjakan umrah bersama, Adi berkata:

“Bagi saya benda ini sangat jelas dan lutsinar. Jika masyarakat masih mahu gosipkan kami terpulang.”

Tambahnya, pemilihan Mira bukan disebabkan keserasian gandingannya dalam drama Cinta Si Wedding Planner, tetapi kerana pelakon muda itu memberi contoh sebagai selebriti Muslimah yang memiliki penampilan yang baik.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai pakej umrah itu boleh melayari facebook.com/faizintravel, instagram.com/faizintravel atau berjumpa mereka di Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mac ini di Hall 1M 15 & 16/ Hall 2 2029.

Adi juga akan berada di sana pada kedua-dua hari tersebut dari pukul 2 hingga 6 petang.

Previous Post Next Post