Adira sukar kongsi kisah keguguran


ADIRA mengambil pendekatan untuk melayan komen-komen negatif pengikut di Instagram.

Sejak mendirikan rumah tangga secara mengejut Disember tahun lalu, kisah peribadi penyanyi putih melepak, Adira dan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu sering menjadi tumpuan peminat.

Walaupun sekadar kapsyen gambar dan komen-komen peminat yang membuat spekulasi, ramai mula membuat tanggapan tentang corak kehidupannya kini, termasuklah berhubung tindakan suaminya, meninggalkan komen dengan simbol botol susu pada sekeping gambar di Instagramnya.

Berkesempatan menemui pemilik nama Siti Adira Suhaimi pada majlis pengumuman calon Anugerah Bintang Popular (ABP2015) baru-baru ini, pelantun lagu Ombak Rindu itu masih kemas menyimpan rahsia terutama mengenai spekulasi keguguran kandungannya yang kecoh diperkatakan baru-baru ini.


ARTISMELETOP!: Baru-baru ini, Adira dikatakan hamil, selang tidak lama kemudiannya muncul pula khabar angin mendakwa anda keguguran. Semua itu berpunca daripada paparan gambar dan status yang dimuat naik oleh suami di Instagram. Boleh anda ulas tentang kesahihan spekulasi tersebut.

ADIRA: Maaf, bukan sekarang masanya untuk saya mengulas tentang hal tersebut kerana ia melibatkan dua keluarga dan bukan saya seorang. Tetapi apa yang boleh saya katakan, kadang-kadang suami saya suka bergurau. Mungkin status yang dimuat naik bukan ditujukan kepada saya, memandangkan dia juga punya anak kecil bersama isteri pertamanya.

Jika benar anda hamil, berita tersebut sememangnya sesuatu yang dinantikan bukan?

Ya, pastinya kerana kami juga tidak merancang soal anak. Jika ada rezeki, kami terima dengan hati terbuka.

Setelah hampir empat bulan bergelar isteri dan hidup bermadu, apakah perubahan yang anda alami dalam kehidupan seharian?

Alhamdulillah, saya bahagia dan setakat ini tiada masalah yang timbul walaupun saya hidup bermadu. Bagi saya, selagi kami tidak gagal untuk berkomunikasi antara satu sama lain, pasti tiada isu atau pertengkaran. Saya bersyukur, walaupun berkongsi suami, saya tidak rasa sebarang kekurangan dan hubungan dengan madu juga baik-baik sahaja.

Masuk ke topik ABP2015, nama anda masih tercalon dalam kategori Penyanyi Wanita Popular. Boleh komen tentang sokongan peminat terhadap anda kini?

Saya sangat berterima kasih kepada semua peminat saya yang tidak putus-putus memberikan sokongan meskipun saya ditimpa banyak kontroversi sepanjang tahun lepas. Itu yang membuatkan saya terus cekal untuk berada dalam industri.

Anda sering menjadi mangsa komen-komen negatif di laman sosial, bagaimana berdepan dengan situasi berkenaan?

Saya lebih selesa untuk tidak melayan sesuatu yang akan membuatkan saya sakit hati. Saya juga tidak mahu menyekat mereka di laman sosial dan lama-kelamaan segala kecaman akan senyap dengan sendiri.

Apakah projek terbaharu anda?

Sekarang dalam proses mempromosi single terbaharu berjudul Ku Mahu Pulang yang merupakan lagu tema untuk telemovie berjudul Inayah. Saya juga baru selesai merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi Singapura, Taufiq Batishah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »