Ahmad Idham tampil dengan drama baharu


Ahmad Idham

NAMA Ahmad Idham dalam bidang seni tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak hanya dikenali sebagai pelakon, dia juga dikenali antara pengarah prolifik dan penerbit berjaya di Malaysia.

Namun selepas sekian lama tidak mengarah drama, Idham kembali dengan buah tangan terbarunya, Married Tapi Benci.

Drama baharu mengisi slot Lestary ini sudah menemui penonton selepas tamatnya drama Cinta Teruna Kimchi.

Menampilkan gandingan baharu Shafiq Kyle dan Azira Shafinaz sebagai pelakon utama, drama terbitan Aifa Motion Pictures Sdn Bhd ini disiarkan setiap Rabu hingga Jumaat jam 9 malam di TV3.

Drama bersiri 13 episod ini turut menyaksikan penampilan Mustaqim Bahadon, Zalif Sidek, Cat Farish, Badrul Muhayat, Isyariana Hanarose, Amylia Nastasha, Cyiera Saad, Nor Albaniah dan Shamini Malini.

Bercerita mengenai pembikinan drama ini, Idham berkata, Married Tapi Benci adalah karya idea asal beliau sendiri.

Katanya, drama ini menjalani penggambaran selama 40 hari bermula Disember tahun lalu melibatkan kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

“Tak dinafikan saya dah lama tidak terlibat dengan pengarahan drama. Kali terakhir saya mengarahkan drama adalah menerusi telefilem raya, Abang Long VS Kak Long pada 2013.

“Seperti biasa kalau drama, kita memang tak boleh lari dengan kisah percintaan, namun itu hanya latarnya. Tapi dari segi jalan cerita saya tampilkan kelainan termasuk dengan latar perwatakan. Begitu juga dengan sub plot, di mana kita tampilkan sub plot yang berbeza.

“Tak dinafikan bila kita buat sesuatu yang lain, ia merupakan satu risiko. Tapi pandangan saya apa yang penting, saya dapat tampilkan sesuatu yang baharu kepada penonton," katanya kepada Zass.


Married Tapi Benci mengisahkan dua remaja yang terpaksa berkahwin di usia muda akibat diperangkap orang ketiga.

Kamal (Shafiq Kyle) merupakan pelajar kolej yang digilai ramai dan seorang pelumba basikal yang sering menjuarai kejohanan. Kehadiran pelajar baharu di kolej iaitu Rina (Azira Shafinaz) dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi telah menarik minat Kamal untuk cuba memikat ditambah lagi Rina turut mempunyai raut wajah jelita.

Namun, Rina dengan perwatakan yang sedikit kasar dan benci dengan lelaki akhirnya telah memalukan Kamal di hadapan ramai pelajar lain.

Rina pula semakin rapat dengan Daniel (Mustaqim Bahadon), musuh ketat Kamal yang turut ingin bersaing dengan Kamal.

Satu hari, Kamal mengenakan Daniel dengan memutuskan brek motor Daniel tetapi malangnya, Rina yang menjadi mangsa kerana dia bertukar motor dengan Daniel.

Kamal berasa bersalah namun takut mengakui kesalahannya sehinggalah dia melawat Rina di hospital. Hubungan mereka mulai rapat setelah mengetahui kisah sebenar Rina.

Daniel pula menyimpan dendam dengan memerangkap mereka berdua sehingga ditangkap khalwat.

Walaupun sudah berkahwin, Kamal dan Rina masih lagi meneruskan aktiviti lasak dan tidak peduli dengan urusan satu sama lain. Kamal masih lagi dengan basikalnya, begitu juga Rina yang sering bersama dengan teman rapatnya.

Ditanya mengenai judul drama ini yang agak 'catchy' dan seperti karya daripada novel, Idham menjelaskan, Married Tapi Benci adalah huraian kepada singkatan MTB yang sebenarnya membawa maksud, mountain bike.

“Drama ini sebenarnya lebih memberi highlight kepada budak MTB tapi saya rasa tak sesuai pula letakkan judul MTB sahaja. Jadi saya kembangkan MTB itu kepada Married Tapi Benci,” jelasnya.

Gandingan baharu

Bercerita lanjut pembikinan drama ini, Idham berkata, dia mengambil satu lagi risiko apabila meletakkan muka baharu.

Bagaimanapun dia percaya dengan pertaruhannya dan berpuas hati mutu lakonan serta keserasian Syafiq dan Azira.

“Walaupun Syafiq dah dikenali tapi saya kira dia masih lagi pelakon baharu. Jadi saya kira gandingan mereka juga merupakan gandingan baharu,” katanya.

Menurut Idham, dia tidak mengalami cabaran lain dalam menyiapkan drama ini dan hanya membuat yang terbaik.

“Apa yang saya harapkan orang suka dan terhibur dengan jalan cerita drama ini walaupun saya tampilkan kelainan,” katanya.

Previous Post Next Post