Ainul Aishah tinggalkan karier lakonan?


PELAKON berusia 31 tahun ini mengakui tidak menyesal meninggalkan dunia lakonan ketika namanya sedang meningkat naik suatu ketika dahulu.

Jelasnya, meskipun sedar banyak tawaran datang kepadanya sebagai pelakon utama, namun dia menganggap semua itu pasang surut bergelar anak seni.

"Saya bersama industri seni seawal usia 20-an, dan sekarang sudah hampir 10 tahun ia berlalu.

"Walaupun ada di antara rakan-rakan saya sudah mencipta era kegemilangan masing-masing, tetapi ia bukan kerugian bagi saya.

"Setiap individu itu ada masa hadapan dan hala tuju tersendiri," kata Ainul Aishah ketika dihubungi Zass.

Akui pelakon filem Histeria ini, dia bagaimanapun gembira kerana masih diberi ruang bergelar pelakon sejak kebelakangan ini.

"Sebenarnya saya kembali aktif sejak 2014, sepanjang tahun saya sibuk dengan penggambaran pelbagai drama dan telefilem.

"Tetapi, sekali lagi saya putuskan berhenti berlakon seketika untuk fokus kepada perniagaan.

"Jadi, sekarang apabila semua sudah selesai dan saya punya masa terluang, saya kembali berlakon," katanya.


Walaupun tidak menyesal tidak berjaya seperti rakan seperjuangannya yang lain dalam bidang ini, kata Ainul, dia tidak kisah.

"Saya berlakon jika diberikan kesempatan, kalau tiada, saya tidak merajuk atau kecil hati.

"Cuma rasa rindu berlakon tetap ada bila lama tidak ke set penggambaran," katanya.

Berkongsi lanjut, kata Ainul, kehidupannya kini lebih baik apabila bakal melancarkan jenamanya sendiri A Love tidak lama lagi.

"Kerana itu saya tidak berasa rugi, kehilangan dalam industri diisi dengan perkara bermanfaat seperti belajar ilmu perniagaan," katanya turut menguruskan perniagaan biskut.

Terbaharu, Ainul kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bagi drama bersiri berjudul Akadku Yang Terakhir untuk siaran Astro Prima.

Selain Ainul, drama bersiri 43 episod ini turut dilakonkan Tiq Zaqyah dan Amar Baharin.

Previous Post Next Post