Aliff Syukri Kamarzaman Akhirnya Taja Kedah


Pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman bakal menandatangani kontrak penajaan dengan pasukan bola sepak Kedah.

Menurut sumber, usahawan muda yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu akan meneliti draf terakhir kontrak tajaan bernilai jutaan ringgit dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) malam ini (Selasa).

Difahamkan Aliff Syukri kini sudah berada di Kedah.

Bagaimanapun menurut satu sumber lain, Aliff Syukri hanya akan 'membuka mulut' mengenai isu penajaan berkenaan dalam satu majlis anjuran syarikatnya di sebuah hotel di sini minggu depan.

"Pada majlis itu nanti beliau dijangka akan buat pengumuman penting. Mungkin berkaitan isu bola sepak," kata sumber berkenaan kepada mStar Online pada Selasa.

Sementara itu Aliff Syukri ketika dihubungi mStar Online dilihat masih mengambil langkah berjaga-jaga ketika diminta mengulas mengenai kerjasama pihaknya dengan skuad Helang Merah itu.


"Tak sesuai untuk saya buka mulut sekarang selagi kontrak belum ditandatangani. Namun apa yang boleh saya katakan ialah jika D'Herbs mengeluarkan tajaan, ia membabitkan nilai jutaan ringgit.

"Saya tak akan menaja untuk hanya satu musim. Berapa musim saya tak boleh beritahu lagi...yang pasti lebih daripada setahun.

"Malam ini saya nak tengok draf kontrak itu dulu. Di mana lokasinya saya tak boleh beritahu....biarlah rahsia. Saya akan bertemu dengan 'orang besar' untuk bincang. Tapi sign atau tidak belum tentu lagi," katanya.

Mengulas mengenai kelewatannya membuat keputusan iaitu ketika kerancakan Liga Malaysia 2016 membuka tirai pada awal Februari lalu, Aliff Syukri berkata beliau perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum terjun dalam sukan bola sepak.

"Saya perlu ambil masa untuk menilai mengenai faedah jangka panjang dan pendek berhubung tajaan ini. Biar lambat tapi memberi faedah untuk kedua-dua belah pihak.

"Prestasi pasukan juga perlu diambil kira. Tajaan untuk sukan bukan seperti berniaga kosmetik, ia sesuatu yang berbeza," katanya.

Diminta mengulas mengenai syarat yang diletakkannya kepada KFA, jutawan kosmetik itu berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan berkenaan untuk membuat tawaran.

"Saya tak letakkan sebarang syarat. Penyokong Kedah jangan risau, saya tak berikan syarat yang pelik-pelik.

"Biarlah tajaan ini dibuat secara bermaruah, saya tak mencari publisiti murahan," katanya.

Aliff sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk menaja pasukan Kedah ketika hadir menonton perlawanan antara skuad Helang Merah menentang Kelantan dalam saingan Liga Super.

Previous Post Next Post