Amelina bakal terbit album Cinta Harus Seksi


RATU Dangdut Amelina, yang muncul kembali setelah 15 tahun berehat, baharu sahaja selesai menjalani penggambaran video klip 'single' terbaharunya 'Cinta Harus Seksi'.

Amelina, atau nama sebenar Norazlina Amir Sharipudin, 41, berkata, pengalaman menyiapkan video itu ibarat mengimbau semula kenangan ketika di set penggambaran lagu hitnya seperti lagu-lagu dalam album pertamanya dahulu sekitar 1995.

"Ini adalah video klip pertama saya selepas buat kemunculan semula. Kini menunggu untuk dilancarkan.

"Masih ada sikap malu-malu seperti ketika mula-mula beraksi di hadapan kamera 20 tahun lalu," kata ibu kepada enam orang anak itu.


Amelina bercakap kepada wartawan pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta produk pewarna rambut D-Herb di sini, hari ini.

Penggambaran itu melibatkan lokasi di Jakarta, Indonesia.

Amelina berkata, beliau teruja dapat bekerjasama dengan produser Indonesia dan berharap akan mendapat lebih peluang mengembangkan bakat di sana.

Beliau merancang untuk mempromosi albumnya ketika siri jelajah sebagai duta D-Herb yang bakal bermula bulan hadapan sehingga Jun.

"Cinta Harus Seksi' saya kira sebagai percubaan untuk menjadi produk popular selepas kemunculan semula.

"Selepas ini saya akan juga cuba mencari selera terbaru peminat," katanya.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »