Amy Mastura tidak halang anak ceburi bidang seni


DALAM usianya menginjak angka 45 tahun, penyanyi kecil molek ini tidak pernah terfikir mengundurkan diri daripada bidang nyanyian.

Figura pernah popular menerusi lagu Jawapan Kasih, Akan Datang dan terbaru Menari Ler ini menyifatkan karier sebagai penyanyi tidak ada tarikh luput atau pencen.

Meskipun industri muzik diwarnai pendatang baharu, menurut Amy Mastura Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Amy Mastura, dia yakin penyanyi terdahulu masih mendapat tempat di hati pendengar kini.

"Industri muzik berkembang dengan hebatnya, sepanjang bergelar penyanyi 22 tahun lalu, saya terus berkarya dan berjasa kepada industri.

"Selagi mampu dan terdaya, saya akan terus berbakti sebagai anak seni. Lagipun, tiada lama, maka tiadalah baharu. Dalam industri sendiri, kejayaan insan seni terdahulu sentiasa diiktiraf," katanya ketika ditemui di majlis Jom Makan Suria FM, baru-baru ini.

Mengakui kerana cintanya pada bidang seni, pembesaran anak-anaknya terdedah kepada dunia seni.

Kata Amy, dia tidak menghalang kedua-dua anaknya, Adriana (15) dan Adelia (11) melibatkan diri dalam bidang itu.

Jelasnya, mereka berhak membuat pilihan sendiri tetapi tetap dipantau tegas olehnya dan suami, Alvin Tham Suffian.

"Kami tidak pernah menghalang apa kemahuan mereka. Cuma, sebagai ibu saya memastikan mereka di landasan betul.

"Yang penting, pendidikan jadi keutamaan. Seperti sekarang meskipun Adelia sering terlibat pelbagai program seni, pendidikan tetap didahulukan," katanya.


Adelia turut terlibat menjayakan teater Zombie La La La.

Amy turut bersyukur kerana suami memahami kerjayanya sehingga kini.

"Dia sendiri tidak pernah meminta saya berhenti dalam bidang ini. Lagipun, masa saya untuk mereka sentiasa ada dan tidak sesibuk dahulu.

"Saya sendiri beri keutamaan kepada keluarga jika mereka memerlukan saya," kata anak jati Ipoh, Perak ini.

Berbicara lanjut mengenai kisah kerjayanya, tahun ini Amy akan muncul dengan single terbaru.

"Single sudah siap, cuma tinggal tarikh untuk diterbitkan sahaja. Buat masa sekarang, pihak penerbit masih mencari tarikh sesuai," katanya.

Berkongsi mengenai single itu, kata pelantun lagu Sha Na Na ini, ia ciptaan sepenuhnya Adif Johari.

"Apa boleh saya katakan, ia masih mengangkat genre pop dan judul yang telah dipersetujui sehingga hari ini adalah Kalimah. Saya berharap single ini diterima pendengar masa kini dan menepati selera mereka," katanya.

Tidak pernah membawa genre lain, kata Amy, dia selesa dengan muzik sedemikian.

"Rata-rata lagu saya berirama pop dan saya yakin peminat juga gemar dengan pembawaan saya menerusi muzik itu," katanya.

Ditanya apakah dia tidak teringin melakukan kolaborasi bersama artis baharu, kata Amy, jika ada tawaran dia pasti menerimanya.

"Ia perkara bagus apabila ada gabungan artis lama dan baharu, secara tidak langsung ia membuka jalan kepada generasi kini mengenali penyanyi lama," katanya.

Melemparkan pendapat terhadap industri muzik kini, kata Amy, dengan pelbagai pendekatan dibuka kepada peminat muzik, ia menjadikan bidang itu lebih universal.

"Apa saya lihat, era ini memberi ruang kepada orang ramai berkarya tanpa sekatan dan bebas.Secara positif ia mewarnai industri seni tetapi turut melahirkan persaingan hebat. Namun, jika tiada rezeki kita kali ini, jangan mengalah dan patah semangat.

"Lagipun penerimaan sesebuah karya itu bergantung kepada selera pendengar dan kita perlu menghormatinya," katanya.

Jatuh cinta pada teater

Baru sahaja muncul menerusi teater Zombie La La La di Istana Budaya (IB) baru-baru ini, kata Amy, dia bersyukur kerana pembabitannya dalam bidang itu diterima ramai.

"Saya bermula dengan teater sekitar tahun 2000 menerusi Siti Di Alam Fantasi, bagi saya teater ini memberi dimensi lain dalam profil anak seni.

"Sementelah, pembelajaran didapati dalam bidang teater dapat dipraktikkan untuk lakonan dan nyanyian," katanya.

Pun begitu, Amy mengehadkan pembabitannya menerusi teater hanya sekali setiap tahun.

"Kecuali jika ada naskhah menarik, baru saya pertimbangkan untuk menerimanya.Teater berat, jadi perlu bawanya dengan baik bukan boleh tangkap muat sahaja," katanya menjadi Happywitch menerusi Zombie La La La.

Selain fokus nyanyian dan teater, Amy juga sibuk menguruskan perniagaan tudung jenamanya sendiri, AmyMastura By Ezalha dengan kerjasama pereka fesyen tempatan, Ezal dan Alha.

Previous Post Next Post