Anis Al Idrus tidak mudah menyerah


MESKIPUN melangkah ke bidang seni seawal usianya 19 tahun, nama pelakon cantik ini masih kurang dikenali seperti segelintir pelakon lain.

Entah di mana silapnya, percaturan pelakon berusia 28 tahun ini seakan kurang menjadi.

Mungkin kerana watak atau naskhah dipilih tidak berjaya meletakkan namanya sepopular aktres lain, empunya nama Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus bagaimanapun tidak pernah berkecil hati.

Sebaliknya, dia meneruskan kariernya seperti biasa walaupun sekadar bergelar pelakon tambahan.

Terbaru, aktres dikenali sebagai Anis Al-Idrus ini kembali menerusi drama bersiri Uda dan Dara disiarkan di Astro Prima.

Menariknya dalam drama ini, Anis berpeluang bergandingan bersama Zul Ariffin dan Siti Saleha yang merupakan teraju utama.

Berkongsi rasa terujanya, Anis berkata, kepercayaan diberikan pengarah dan penerbit untuk membawakan watak Khalidah tidak pernah disia-siakan.

"Di awal-awal ini watak saya tampak agak perlahan kerana semua orang melihat sisi baik sahaja. Tapi ada satu masa nanti penonton tidak jangka saya berubah menjadi wanita berbeza.

"Seronoknya, baik Zul atau Siti Saleha, keduanya pelakon profesional dan kami sudah kenal antara satu sama lain. Bila dapat peluang berlakon bersama tidak wujud rasa janggal," katanya.

Bercerita cabarannya sebagai Khalidah, jelasnya, setiap watak diterima dalam apa jua naskhah memberi cabaran tersendiri.

"Cuma perspektifnya berbeza. Mungkin menjadi Khalidah tidak sesukar mana, tetapi menjadi cabaran besar jika tidak berjaya di mata penonton," katanya.


Anis juga mengakui, dia bimbang penerimaan pembaca novel adaptasi sentuhan Aisya Sofea terbitan Alaf 21, Kumpulan Media Karangkraf itu.

"Secara tidak langsung peminat novel fanatik itu menonton drama ini, tetapi imaginasi mereka agak berbeza.

"Mungkin mereka mengharapkan lebih dan kita tidak mampu menjangkau apa mereka mahukan, itu menjadi tanggungjawab besar," katanya.

Ditanya apakah pembabitannya menerusi drama tersebut membawa dirinya ke tahap lebih baik dalam bidang lakonan, kata Anis, dia sememangnya mengharapkan naskhah itu mampu menampilkan sisi lakonan lebih baik daripada sebelum ini.

"Saya cuba baiki kelemahan menerusi projek-projek diterima sebelum ini, mungkin kali ini saya lebih menyerlah," katanya yang pernah muncul dengan single Mengapa awal tahun lalu.

Selain Uda dan Dara, Anis juga bakal muncul dengan drama bersiri Duda Terlajak Laris di slot akasia TV3 tidak lama lagi.

Lupakan kontroversi

Mengakui perjalanan hidupnya pernah dihimpit pelbagai kontroversi sebelum ini, kata penyanyi yang juga model ini, dia tidak mahu perkara sebegitu berulang tahun ini.

"Kisah cinta atau peribadi tidak perlu digembar-gemburkan. Seperti saya katakan, peribadi adalah hak peribadi.

"Jika suatu masa saya berkahwin, barulah saya akan beritahu kepada semua," katanya.

Jelasnya, dia selesa tidak berkongsi kisah peribadi supaya tidak menimbulkan hal mengaibkan namanya sendiri.

"Banyak perkara perlu dijaga, sebagai wanita, saya juga berhadapan maruah diri," katanya.

Sementara itu, berkongsi kerjaya modelnya, kata Anis, walaupun sibuk dengan beberapa kerjaya, model tetap jadi keutamaan.

"Minat terhadap model dari remaja lagi. Jadi mustahil untuk saya lupakannya.

"Saya pernah terfikir untuk tinggalkannya, tetapi saya fikir menjadi model hanya perlukan masa sekejap, jadi ia tidak membebankan kerja lain," katanya.

Previous Post Next Post