Bekas juara Kilauan Emas saingi peserta baharu


KARYAWAN, sebahagian calon peserta dan juri tetap Kilauan Emas Otai pada sidang akhbar program berkenaan, baru-baru ini.

Selepas musim kelima menyaksikan Wak Mustar dinobatkan sebagai juara Kilauan Emas, musim terbaharu program realiti popular tersebut kembali dengan suntikan elemen segar iaitu Kilauan Emas Otai yang bakal menyaksikan Wak dan empat juara musim terdahulu mendapat tiket automatik bertanding sesama sendiri.

Tambah menarik, 10 bekas peserta daripada lima musim program berkenaan juga diberi peluang bertanding tetapi perlu merebut tempat masing-masing sewaktu konsert minggu pertama Kilauan Emas Otai sebelum layak diserap masuk sebagai peserta.

Pengurus Saluran Astro Prima, Farah Zainul berkata, kembali semula membawa semangat otai yang lebih berbisa, penganjuran musim terbaharu dengan edisi istimewa yang pastinya lebih berprestij kali ini menyaksikan pembaharuan dan penambaikan bagi memastikan kandungan program kekal relevan dan sentiasa segar.

“Untuk edisi kali ini, kami ingin mencari otai terhebat dalam kalangan yang terbaik. Justeru, buat julung-julung kalinya dari awal lagi kami telah memberi peluang kepada para peminat untuk memilih sendiri calon kegemaran mereka.

“Pihak kami yakin dengan format yang dibawa masuk pada musim ini mampu melonjakkan kegemilangan jenama Kilauan Emas yang menjadi aset serta testimoni utama saluran kami,” katanya.

Tambahnya, 10 calon peserta akan ditentukan nasib mereka berdasarkan 100 peratus keputusan juri pada minggu depan (konsert minggu pertama).


Bukan penamat

Ditanya sama ada penganjuran edisi khas kali ini merupakan penamat kepada jenama Kilauan Emas, Farah menafikannya. Dia menegaskan, pihak mereka melakukan penambahbaikan demi memastikan program tersebut terus bersiaran untuk musim akan datang.

“Tidak seperti program realiti lain, program ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Lima tahun penganjuran, kami akui kelibat juara program dalam industri tidak serancak penyanyi muda lain tetapi bakat mereka adalah sesuatu yang amat bernilai.

“Selagi program ini mendapat sambutan dalam kalangan penonton, ia akan terus bersiaran. Musim kali ini berbeza sedikit. Semua yang bertanding ada pengalaman dan bakat nyanyian mereka sememangnya tidak mampu disangkal,” ujarnya lagi.

Lima juara musim terdahulu yang mendapat tiket automatik sebagai peserta ialah Ali Norpiah (Ali, 51), Ahmad Fuad Zaharullail (Fuad, 48), Mior Yazid Ahmad (Mior, 47), Omar Sharif Mat Din (Arip, 44) dan Mustaffa Rasyid Abd. Jabar (Mustar), 47.

Sementara itu, 10 peserta lain ialah Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman (Elji), 44, Mohammad Nasiruddin Mohd. Hashim (nas), 45, Silahudin Ali (Silah), 55, Jasrina Ad. kadir (Rina), 51, Idris Mohd. Shabidin (Idris), 44, Aziana Ab. Kadir (Aziana), 48, Zuraidah Mohd. Zain (Raidah) , 43, Benasil Kudong (Ben), 65, Mohd. Tauraht Mohd.Saed (Tauraht), 51 dan Shamsiah Mohd. Said (Shamsiah), 54.

Masih mengekalkan Raja Azura sebagai pengacara konsert mingguan, pelakon jelita, Zara Zya buat pertama kali akan menggalas tugas sebagai pengacara Nota Kilauan Emas Otai, manakala Datuk Ramli MS dan Erra Fazira pula dipertanggungjawabkan sebagai juri tetap.

Selain itu, musim istimewa kali ini turut menggunakan khidmat dua tenaga pengajar iaitu Siti Hajar sebagai guru vokal dan Ayai Ilusi selaku guru seni persembahan. Shah Slam pula dilantik sebagai pengarah muzik.

Masih mengekalkan format pemarkahan asal seperti musim terdahulu, kesemua peserta akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri, sementara 50 peratus lagi berdasarkan undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang akan dibuka secara rasmi sejurus tamat konsert minggu pertama malam ini.

Juara bakal membawa pulang hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM150,000 serta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi.

Bagi, pemenang tempat ketiga dan keempat, masing-masing akan memenangi wang tunai RM30,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »