Bekas Suami Mahu Rujuk, Emma Akma Serik


Emma Akma sudah memaafkan perbuatan bekas suaminya namun tidak berhasrat untuk kembali berbaik dengan lelaki bekenaan.

Pelakon Emma Akma mendedahkan bekas suaminya, Omar Ramli ada menyatakan hasrat untuk kembali berbaik selepas mereka sah bercerai secara fasakh pada 14 Januari lalu.

Emma, 47, berkata, sejak mereka berpisah lelaki berkenaan ada beberapa kali menghubunginya selain menghantar mesej di WhatsApp untuk memujuknya namun dia menolak secara baik.

"Sejak kami bercerai dia sentiasa menelefon dan menghantar mesej untuk memujuk saya kembali kepadanya kerana masih sayangkan saya.

"Dia juga ada menyatakan rasa kekesalan terhadap apa yang berlaku sebelum ini tetapi rasanya cukuplah apa yang terjadi sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.

Terdahulu, Emma memfailkan permohonan cerai secara fasakh terhadap pada Ogos tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat dekat sini.

Pasangan itu berkahwin pada 9 Jun tahun lalu bagi memenuhi permintaan anak angkatnya Dayang Izzati, 11 tahun yang juga anak kandung kepada Omar.



Emma dan Omar pada hari bahagia mereka.

Dalam pada itu, Emma berkata, biarpun perkahwinan ketiganya itu meninggalkan impak mendalam kepada dirinya namun dia enggan mengenang kisah silam dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.

Malah dia sudah memaafkan Omar atas perbuatannya dan tidak pernah berhasrat untuk kembali ke pangkuan lelaki itu.

"Saya sudah reda dan maafkan segala perbuatannya kepada saya dan selebihnya itu di antara dia dengan Allah.

"Biarpun masih trauma dengan apa yang telah terjadi saya ambil keputusan untuk teruskan hidup dan berharap Omar juga dapat buat perkara sama," katanya.

Sementara itu, Emma berkata, anak angkatnya masih tidak dapat menerima kenyataan terhadap sikap bapa sendiri terhadap dirinya sehinggakan kanak-kanak itu enggan bertemu dengan Omar.

Bagaimanapun kata Emma, biarpun dia telah menjaga Izzati sejak kecil namun dia tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan di antara anak dengan bapa.

"Saya memang tidak akan berjumpa dengannya lagi tetapi Izzati masih anaknya. Saya tidak akan pernah memutuskan hubungan mereka kerana selama ini anak saya tahu siapa keluarga sebenarnya dan sering berjumpa.

"Buat masa ini dia sangat marah dengan sikap bapanya dan enggan berjumpa dengan Omar," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Emma berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Satu Cinta untuk siaran pada bulan Ramadan nanti di TV1.

Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »